Militan IS

KUALA LUMPUR – Polis menahan sembilan lelaki tempatan disyaki terbabit dalam aktiviti kumpulan pengganas Daesh menerusi operasi di lima negeri Selangor, Perak, Kedah, Kelantan dan Johor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kesemua suspek berusia 27 hingga 46 tahun itu ditahan dalam operasi yang dilakukan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas bermula 15 hingga 21 Mac lalu.

Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan di Klang, Selangor pada 15 Mac dan polis menahan juruteknik berusia 27 tahun disyaki anggota sel kumpulan ‘Gagak Hitam’ yang terbabit dalam insiden letupan di Kelab Movida, Puchong pada Jun tahun lalu.

“Pada 16 Mac, dua lelaki berusia 37 dan 39 tahun ditahan di Kulim, Kedah serta Ipoh, Perak. Seorang daripada suspek bekerja sebagai guru di sekolah rendah mengaku menyebarkan ideologi kumpulan pengganas Daish menerusi Facebook dan seorang lagi suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan merancang keluar negara bagi menyertai Daish di Syria ataupun selatan Filipina.

“Seterusnya, dua lagi suspek berusia 21 dan 38 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dan pemilik kedai veterinar ditahan di Perak pada 17 Mac.

“Pekerja kedai makan terbabit turut mengaku merancang untuk melancarkan serangan terhadap Balai Polis Tapah, Perak dan dia turut berhubung dengan anggota kumpulan Daish di Indonesia bagi mendapatkan bahan letupan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Khalid berkata, tangkapan seterusnya dilakukan membabitkan mekanik berusia 32 tahun di Kuala Krai, Kelantan pada 20 Mac selepas disyaki menyalurkan dana bagi kumpulan Daesh di Syria.

“Tangkapan terakhir pada 21 Mac membabitkan tiga lelaki di Kota Bharu, Kelantan dan Segamat, Johor. Tiga suspek itu disyaki terbabit dengan kumpulan Daish di Malaysia.

“Kesemua ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Bab VIA-Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747),” katanya. – MalaysiaGazette