Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyahut cabaran bekas Pegawai Khas Politiknya, Haris Che Mat untuk mengadakan sesi debat terbuka.

Bagaimanapun menurut Mukhriz, Haris telah meletakkan beberapa syarat yang pada pandangan beliau tidak relevan.

“Setelah saya menyambut cabaran Haris Che Mat untuk berdebat mengenai kekayaan saya yang katanya mencecah berbilion ringgit, saya dimaklum oleh seorang rakannya bahawa syarat untuk debat antara kita, beliau akan pilih moderator dan soalan hanya akan dituju kepada saya sahaja.

“Saya tidak boleh tanya apa-apa soalan kepada Haris. Sila sahkan berita ini,” katanya dalam laman Facebook beliau hari ini.

Semalam, Haris yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena berkata, beliau mahu sesi debat itu diadakan sebelum bulan Ramadan di kawasan Parlimen Jerlun.

“Saya mencabar Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam untuk berdebat bagaimana beliau mampu menjadi seorang ‘multi billionaire’ dalam tempoh yang singkat.

“Saya dan orang ramai, sangat ingin tahu sama ada beliau jadi kaya atas usaha sendiri atau sebaliknya, kerana Mukhriz bukan dari keturunan datuk nenek yang hartawan,” kata Haris pada sidang media.

Haris berkata, sudah tiba masanya Mukhriz mendedahkan punca kekayaannya kerana selama ini pembangkang sering mempertikaikan kemewahan dimiliki pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ujarnya, adalah tidak logik bagi Mukhriz memiliki kekayaan membabitkan aset dalam dan luar negara hanya melalui warisan daripada bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Malah katanya, kekayaan Mukhriz juga wajar dipertikaikan kerana hanya memegang jawatan politik penting dalam BN tidak sampai tempoh 10 tahun.

Mengulas mengenai debat itu, Muhkriz mencadangkan agar debat terbuka kedua-dua pihak dibuat pada 29 Mac depan di Pokok Sena.

“Bila saudara lontarkan cabaran itu dalam sidang media semalam, saudara kata nak debat. Mungkin saudara kurang arif mengenai makna debat.

“Sekali lagi saya ulangi, kalau benar nak debat, saya cadangkan 29 Mac malam di kawasan saudara sendiri iaitu Pokok Sena. Sila uruskan dewan dan permit jika perlu. Maklumlah, kalau kami yang uruskan tentu ada banyak halangan,” kata Mukhriz. – MalaysiaGazette