Nur Jazlan Mohamed, foto Arkib MalaysiaGazette

JOHOR BAHRU – Sistem pengurusan senjata di sesetengah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan dipantau bagi mengelakkan berlakunya kehilangan senjata yang diberikan kepada organisasi terbabit.

Timbalan Menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata dalam kalangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kehilangan senjata mungkin perkara yang sukar memandangkan ia mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Saya rasa dalam kalangan polis tiada masalah, mungkin dalam kalangan angkatan keselamatan lain (ada masalah).

“Oleh itu, KDN akan memastikan SOP ditingkatkan supaya setiap senjata yang diberikan kepada pegawai agensi-agensi ini, dapat dipantau,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Gotong-Royong Denggi bagi Zon 19 dan 20 di Taman Bukit Indah di sini, hari ini.

 Nur Jazlan berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini yang mendakwa sebanyak 44 senapang patah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) daerah Selama, Perak hilang awal bulan ini.

Kehilangan itu disedari selepas Unit Penguatkuasaan Lesen Senjata Api, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah bersama Unit Penguatkuasa Lesen Senjata Api Agensi Kerajaan dan Urus Setia Ketua Polis Negara (Lesen Senjata Api) Bukit Aman, melakukan pemeriksaan dan audit di Pusat Latihan Rela, Wilayah Utara (PLRWU) di Sungai Petani, Kedah.

Kata laporan itu, satu pasukan khas dianggotai Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Kedah dan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Kedah telah ditubuhkan susulan kejadian.

Pasukan itu kemudian melakukan serbuan di beberapa lokasi di Perak dan Kedah sejak Rabu lepas, yang membawa kepada penangkapan enam suspek dan rampasan beberapa senapang patah serta lebih 300 butir peluru hidup.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan berkata beliau tidak menolak kemungkinan kehilangan senjata itu berkaitan dengan pengganas.

“Pengganas di negara kita sentiasa mencari cara untuk mendapatkan senjata.  Namun begitu, keadaannya masih lagi terkawal setakat ini kerana senjata di Malaysia dikawal oleh polis dan anggota tentera…tidak mudah untuk seseorang mendapatkan senjata api, apatah lagi jika senjata api berat.

“Bagaimanapun, kita akan sentiasa memantau susulan kehilangan tersebut kerana kita tidak mahu senjata berkenaan jatuh ke tangan pengganas dan digunakan untuk tindakan berbahaya,” katanya.  – MalaysiaGazette