Iskandar Abd. Samad

SHAH ALAM – Pas Selangor tidak takut akan kehilangan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sekiranya digugurkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sebaliknya, menurut Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Iskandar Abd. Samad, beliau bimbang jawatan yang dipegang oleh tiga pemimpin Pas itu diberikan kepada rakan serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN).

Beliau yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri berkata, Pas negeri seboleh-bolehnya cuba mengelak PAN berada dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Hilang jawatan Exco apa alasan apa? Kita tidak takut (dipecat), tapi sebolehnya kita tidak mahu PAN berada dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya ringkas kepada wartawan di lobi bangunan Dewan Sidang Negeri di sini, hari ini.

Beliau diminta pandangannya mengenai kedudukannya bersama dua lagi Exco dari Pas berikutan keputusan pucuk pimpinan parti itu memutuskan hubungan kerjasama dengan PH.

Keputusan itu diumumkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikutan tindakan terakhir Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) secara rasmi menjadi salah satu komponen PH.

Dua lagi Exco dari Pas ialah Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi dan Zaidy Abdul Talib yang memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri.

Ditanya mengenai ada usul dari Pas kawasan yang mehu parti itu memutuskan hubungan dengan PKR, Iskandar yang juga Ahli Dewan Undangan NegeriChempaka berkata, beliau tidak dapat menghalang suara akar umbi. – MalaysiaGazette