Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Peruntukan tambahan sebanyak RM62.8 juta yang dimohon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak digunakan untuk tujuan persempadanan semula, kata Datuk Johari Abdul Ghani.

Menteri Kewangan Kedua itu menjelaskan peruntukan tambahan itu digunakan untuk melaksanakan tiga pilihan raya, iaitu Pilihan Raya Sarawak, Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

“Kalau tengok Pilihan Raya Sarawak pada 2011 perbelanjaan yang digunapakai adalah sebanyak RM79 juta, pada 2016 pula jumlah keseluruhan termasuk bajet tambahan tolak sekatan yang kita gunakan adalah RM85.4 juta di mana perbelanjaan meningkat sebanyak 7.5 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perbahasan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2016) 2017 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Pertama 2016 di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad meminta kementerian menjelaskan adakah kerajaan menggunakan peruntukan tambahan SPR untuk Persempadanan Semula.

Terdahulu, Johari menjelaskan anggaran tambahan Perbelanjaan Bekalan sebanyak RM3,081.4 juta telah dipohon untuk diluluskan di bawah Fasal 2 Rang Undang-Undang.

Dalam perbelanjaan tambahan itu juga, Kementerian Pendidikan telah menerima sebanyak RM298 juta, Kementerian Pengangkutan sebanyak RM215.7 juta, Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat sebanyak RM128 juta, Kementerian Kesihatan sebanyak RM104.4 juta, Suruhanjaya Pilihan Raya sebanyak RM62.8 juta, dan Kementerian Luar Negeri sebanyak RM24.1 juta. – MalaysiaGazette