SAO PAULO – Tiga lagi kemudahan pemprosesan makanan di Brazil digantung operasi selepas Kementerian Pertanian negara itu menerima aduan rasuah terhadap pemeriksaan dan kebersihan dalam pengeluaran daging terbesar di dunia.

Dengan arahan terbaharu itu, sebanyak enam kilang pemprosesan makanan telah diarah tutup buat sementara waktu.

Sejumlah 21 kilang pemprosesan terbabit dalam siasatan polis dan tidak dibenarkan mengeksport sebarang produk, walaupun ada yang masih mengeluarkan untuk pasaran domestik.

Kesemua tiga kilang itu diarah tutup pada hari Isnin dan dalam negeri Parana yang dikesan sebagai punca skandal tersebut.

Ia termasuk Souza Ramos, Industria de Laticinios SSPMA dan Fabrica de Farinha de Carnes Castro.

Beberapa pengimport daging utama telah mengeluarkan larangan selepas polis Persekutuan Brazil pada 17 Mac lalu melancarkan siasatan aduan rasuah kepada pegawai kesihatan kerajaan oleh syarikat-syarikat pemprosesan daging untuk terlepas daripada pemeriksaan dan dikecualikan daripada tindakan.

Menteri Pertanian, Blairo Maggi berkata, penyiasat tidak menemui sebarang produk daging yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna di Brazil atau di luar negara.

Lantaran itu, Brazil kini sedang meningkatkan usaha untuk mengembalikan penguasaan pasaran selepas skandal itu menjejaskan keyakinan terhadap pengeluaran daging dari negara tersebut.

China, pembeli terbesar bagi daging Brazil bersama Mesir dan Chile telah menarik balik penggantungan ke atas daging dari Brazil.

Bagaimanapun, Kesatuan Eropah telah mengekalkan penggantungan ke atas produk-produk daripada 21 kilang pembungkusan daging yang masih disiasat.
.
Daging adalah eksport ketiga terbesar Brazil selepas soya dan bijih besi dengan jualan asing hampir AS$14 bilion pada tahun lalu. – MalaysiaGazette