Bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui penghuni Apartmen Kos Rendah Flora Damansara, PJU8/9, Petaling Jaya semalam.

PETALING JAYA – Kes pembuangan bayi berulang lagi.

Dalam kes terbaharu, bayi yang bertali pusat dan masih hidup ditemui orang awam di sebuah apartment kos rendah Flora Damansara, semalam.

Polis menerima maklumat mengenai penemuan bayi lelaki oleh orang awam di Blok D, Tingkat 8, Flora Damansara, PJU8/9 di sini pada pukul 9.10 malam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din Berkata, kereta peronda MPV polis Damansara tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi, polis mendapati bayi yang masih bertali pusat dan masih hidup itu ditemui Zulafiqah Zulhaimi, 17, yang tinggal di tingkat sembilan apartmen tersebut.

Mohd Zani berkata, Nor Zulafiqah menemui bayi yang sedang menangis dalam sebuah kotak di sebelah tangga semasa beliau keluar dari lif untuk pulang ke rumah pada pukul 4 petang.

“Wanita itu terus menuju ke arah tangisan bayi sebelum menemui sebuah kotak air mineral di lantai tangga antara tingkat 8 dan 9 apartmen kos rendah itu.

Kotak yang digunakan suspek menyimpan bayi masih bertali pusat dan ditinggalkan di tangga Apartmrn Kos Rendah Flora Damansara, PJU8/9 PJ, sebelum diselamatkan penghuni lain dalam kejadian semalam.
Kotak yang digunakan suspek menyimpan bayi masih bertali pusat dan ditinggalkan di tangga Apartmen Kos Rendah Flora Damansara, PJU 8/9 PJ, sebelum diselamatkan penghuni lain dalam kejadian semalam.

“Dalam kotak tersebut saksi menjumpai bayi lelaki yang masih dalam tangisan dan menunggu beberapa minit sebelum membawa bayi ke rumahnya, sekali dengan kotak.

“Kemudian saksi telah menghubungi ibunya yang sedang bekerja. Ibu kepada saksi telah menghubungi polis minta bantuan dan hantar ke Hospital Sungai Buloh dengan menaiki ambulans,” katanya dalam kenyataan kepada pemberita pagi ini.

Siasatan lanjut dengan pegawai perubatan mengesahkan bahawa bayi itu dalam keadaan stabil dan akan dirujuk ke wad kecemasan Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Tambah beliau, polis telah melawat lokasi kejadian, apartment kos rendah setinggi 26 tingkat dan mempunyai 26 unit rumah setiap tingkat, dan mengambil kain yang digunakan untuk analisa DNA.

Jelasnya, Bahagian Siasatan Jenayah daerah telah mengarahkan semua pasukan operasi polis untuk membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah bagi mengesan bayi tersebut.

“Siasatan juga mendapati bahawa berdasarkan kepada berat kotak dan bayi, suspek  dipercayai menggunakan tangga (untuk meninggalkan bayinya) sama ada dua tingkat dari atas atau dua tingkat dari bawah.

“Siasatan akan diteruskan dan perkembangan siasatan akan menyusul,” tegasnya.- MalaysiaGazette