Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang turut menyatakan sokongan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibawa oleh Kerajaan di Dewan Rakyat hari ini.

ParlimenBuat kali pertama, sidang media di Parlimen diadakan melibatkan ahli parlimen daripada kedua-dua belah pihak sebagai tanda sokongan terhadap RUU yang dibacakan kali pertama bagi melindungi kanak-kanak bawah umur 18 tahun daripada jenayah seksual.

“Setakat ini kami sudah dapat 115 tandatangan Ahli Parlimen, harap dapat semua 222 Ahli Parlimen pada minggu depan.

“Semua Ahli Parlimen perlu bersatu dalam hal ini,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said semasa sidang media.

Azalina berharap tiada lagi penangguhan untuk meluluskan RUU tersebut, malah mahkamah khas akan ditubuhkan di Kuala Lumpur disusuli negeri-negeri lain untuk membantu pelaksanaan akta itu.

Kempen jelajah bakal diadakan ke seluruh negara oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar undang-undang untuk memberi kefahaman kepada penjaga kanak-kanak.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen pembangkang Lembah Pantai, Nurul Izzah berkata, menjadi kewajipan untuk semua pihak melindungi kanak-kanak dan menggesa supaya 222 Ahli Parlimen menyatakan sokongan terhadap RUU ini.

“Walaupun ada perbezaan dalam hal dasar, tapi menjadi kewajipan untuk kita melindungi kanak-kanak ini.

“Bagi saya semua 222 wakil rakyat wajib sokong sepenuhnya dan harus ada penyelesaian holistik. Semua harus bergabung tenaga agar pendakwaan berjaya,” kata Nurul Izzah dalam sidang media sama.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menyifatkan RUU tersebut penting bagi memastikan pesalah dibawa ke muka pengadilan dan tidak dapat melepaskan diri dengan jenayah yang mereka lakukan.

“Kepada penjenayah di luar sana, kamu boleh lari tapi tidak boleh sembunyi kerana kami akan bersatu dalam isu ini dan tiada alasan untuk kamu tidak menyokong akta ini,” katanya.

RUU yang dibacakan oleh Azalina ini mengandungi tujuh bahagian yang menerangkan definisi bentuk kesalahan seksual terhadap kanak-kanak berusia bawah 18 tahun dan hukuman yang akan dikenakan ke atas individu yang didapati bersalah dalam jenayah tersebut.

“Akta ini bertujuan untuk mengadakan peruntukan mengenai kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak tertentu dan hukumannya sebagai tambahan kepada kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang lain. Hukumannya dalam undang-undang bertulis yang lain dan berhubung dengannya untuk mengadakan peruntukan mengenai pentadbiran keadilan bagi kanak-kanak dan perkara berkaitan,” menurut bahagian huraian akta yang dibacakan tersebut. – MalaysiaGazette