Home Ekonomi Kediaman satu bilik di HK kini hampir RM6j

Kediaman satu bilik di HK kini hampir RM6j

HONG KONG –  New World Development and Vanke Property menawarkan 64 buah lagi rumah flat dengan satu bilik tidur pada harga HK$10 juta (RM5.68 juta) selepas diskaun.

Projek Pavilia Bay kerjasama dua syarikat itu dibina di Tsuen Wan.

Menurut agen, pemaju berkenaan menawarkan kediaman seluas 421 kaki persegi di tingkat 57, dengan pemandangan laut ditawarkan pada harga HK$11.79 juta (kira-kira (RM6.7 juta) atau anggaran HK$28,000 (RM15,940) bagi setiap kaki persegi.

Bagaimanapun, selepas ditawarkan potongan harga sebanyak 14.5 peratus, harga kediaman itu menjadi HK$24,000  bagi setiap kaki persegi.

Harga yang ditawarkan itu akan menjadi penanda aras terkini bagi kediaan satu bilik tidur di kawasan perumahan baharu di Hong Kong.

Poly Property Group yang melancarkan projek Vibe Centro dengan 108 buah kediaman di Kai Tak juga menawarkan harga lebih mahal selepas mendapat sambutan.

Dengan keluasan kediaman daripada 228 kaki persegi hingga 1,146 kaki persegi, projek perumahan itu menawarkan harga HK$5.48 juta (RM3.11 juta) hingga HK$35.59 juta(RM20.245 juta) atau antara RM12,000 hingga RM17,000 bagi setiap kaki persegi. – MalaysiaGazette