Bukan Parlimen Johor Bahru tetapi Lim Kit Siang akan mempertahankan kerusi parlimen Gelang Patah yang disandangnya yang kini ditukar nama kepada Iskandar Puteri.
Lim Kit Siang.

KUALA LUMPUR – Lim Kit Siang hilang kesabarannya apabila disuruh letak jawatan oleh Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan selepas Pnasihat DAP itu tidak lagi mendapat kepercayaan akar umbi parti pembangkang.

Kit Siang tidak dapat menahan kemarahannya dengan membidas Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) itu tidak tahu malu apabila mendesaknya supaya meletak jawatan dan menyifatkan beliau hanya menampakkan kebodohan diri sendiri sahaja.

“Abdul Rahman mahu saya bersara daripada politik kerana gagal menumbangkan BN dalam pilihan raya sebelum ini dan mengatakan saya patut berasa malu kepada ahli parti DAP serta sepatutnya memberikan laluan kepada pemimpin lain yang lebih layak.

“Sebenarnya, Abdul Rahman lah yang tidak tahu malu yang tidak sedar beliau membodohkan dirinya sendiri!” kata Kit Siang pada sidang media di Parlimen hari ini.

Kit Siang juga tidak dapat menerima hakikat apabila Abdul Rahman menyatakan terdapat ahli akar umbi DAP yang takut untuk menyuruhnya letak jawatan dan mempersoalkan kesahihan berhubung dakwaan tersebut.

“Jika dakwaan Abdul Rahman itu betul, mengapa beliau mahu menggagalkan dan sabotaj rancangan ahli akar umbi dan pemimpin DAP tersebut apabila secara terbuka menyokong usaha tersebut,” katanya.

Kit Siang juga mendakwa Abdul Rahman tersilap langkah apabila membuat pendedahan berhubung ketakpuashatian ahli-ahli DAP yang mahu mendesaknya letak jawatan.

Abdul Rahman sebelum ini mencadangkan supaya Kit Siang bersara daripada politik dan memberi peluang kepada muka baharu seperti yang diingini oleh kalangan anggota akar umbi parti itu.

Menurutnya, berbanding dengan parti-parti politik lain yang telah melakukan transformasi, DAP masih lagi enggan melaksanakan peralihan kuasa kepada pemimpin muda dan sebaliknya terus mengekalkan Kit Siang yang berpandangan ekstrem bagi tempoh 51 tahun lepas.

“Mungkin juga kepemimpinan inilah yang menyebabkan DAP tak boleh menang pilihan raya umum.

“Ramai pemimpin DAP tidak berani bercakap di luar (mengenai perkara ini) dan mereka akan berterima kasih kepada saya dan rakan-rakan dalam BN yang mengatakan bahawa sudah tiba masanya Kit Siang bersara,” katanya. – MalaysiaGazette