Wakil Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abd Jalil kelihatan ceria sebelum bermulanya Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional yang dipengerusikan oleh Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak di Menara Dato Onn, PWTC, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 29 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Segala keputusan yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN) berhubung pindaan Rang Undang-undang 355 dibuat secara konsensus oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ia adalah jalan terbaik buat parti itu dalam menyelesaikan isu mengenai pindaan Akta 355 yang mendapat pelbagai reaksi daripada komponen parti itu sekarang.

“Seperti biasa kita dalam keluarga BN tidak ada perkara yang begitu sensitif yang tidak dibincangkan. Tetapi samada ianya akan diumumkan di khalayak ramai, kita perlukan konsensus.

“Jadi ini kelebihan kita di BN. Bukan mudah untuk mentadbir dan mendekati rakyat yang berbilang kaum dan agama.

“Konsensus BN merupakan kaedah yang terbaik tetapi nak mencapai konsensus itu bukan sesuatu yang mudah. Kena tunggu masanya nanti,” katanya di lobi Menara Dato’ Onn Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) selepas menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi.

Mesyuarat BN hari ini dihadiri Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg.

Najib dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat parti itu mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan mengambil alih pindaan berkenaan yang dibawa oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

Tambah Najib, perkara itu diputuskan sedemikian selaras dengan amalan parti yang ditetapkan secara konsensus.

MCA dan MIC sebelum ini membantah keras usaha meminda Akta 355 dengan beranggapan berkata pindaan itu melanggar prinsip Perlembagaan Persekutuan. -MalaysiaGazette.