Hamim Samuri

KUALA LUMPUR – Keluasan tanah rizab Melayu di seluruh negara meningkat sebanyak 10 peratus sejak 2008, dengan anggaran seluas empat juta hektar setakat Oktober 2016, kata Datuk Dr Hamim Samuri.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu menjelaskan statistik tersebut dimaklumkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Urusan Data Tanah Rezab Melayu Semenanjung Malaysia dan menafikan dakwaan keluasan tanah berkenaan merosot akibat pembatalan status tanah dan tidak diganti semula.

“Jumlah tanah rizab Melayu yang dilaporkan oleh negeri-negeri dalam mesyuarat tersebut sehingga Oktober 2016 dianggarkan ialah seluas empat juta hektar,” kata beliau semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz di Dewan Rakyat, hari ini.

Hamim juga memaklumkan pengkalan data tanah rizab Melayu sudah dibangunkan bagi mengumpulkan maklumat berhubung jumlah tanah rizab di seluruh negeri semenanjung Malaysia

“Peranan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar seperti yang termaktub dalam Seksyen 8 Kanun Tanah Negara adalah memberi nasihat dan menyelaras isu-isu yang berhubung dengan tanah.

“Kementerian telah mengambil inisiatif untuk menyelaras dan membangunkan pengkalan data tanah rizab Melayu dengan mengadakan mesyuarat jawatankuasa pemandu dengan Pejabat Tanah dan Galian negeri-negeri berkaitan,” katanya.

Katanya, pada masa sama, jawatankuasa itu akan memantau dari segi keluasan tanah berkenaan yang dibangunkan dan ditukar status serta diganti semula.

“Antara saranan menarik dibangkitkan dalam jawatankuasa itu ialah tanah rizab Melayu yang ditukar status perlu diganti dengan serta merta,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin.

Shamsul Iskandar membangkitkan isu penetapan nisbah 50 peratus tanah rizab Melayu oleh Raja-Raja Melayu tetapi kajian dilakukan penyelidik Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 2009 mendapati tanah rizab Melayu hanya tinggal 12 peratus. – MalaysiaGazette