Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas tetap meneruskan hasratnya untuk membawa usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 walaupun kerajaan memutuskan tidak ada wakil daripada mereka yang akan membentangkannya.

Pendirian itu dinyatakan Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan yang menyifatkan keputusan kerajaan tidak menjejaskan langkah parti Islam itu untuk terus membawa usul persendirian tersebut, malah bersedia untuk membahaskannya pada bila-bila masa.

“Pas tidak bermasalah siapa yang mahu membentangkannya. Apa yang penting Akta 355 mesti dan berjaya dipinda.

“Mereka tidak jadi mengambil alih. Ianya mengembalikan format asal tanpa merosakkan sesuatu. Pas akan meneruskan langkahnya menuju destinasi dengan langkahan bergaya tanpa tempang.

“Maka Pas sedia untuk bentang Pindaan Akta 355 dan terus bersedia untuk membentang dan membahaskannya pada bila-bila masa,” kata Nasrudin dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN), parti itu memutuskan tidak ada wakil kerajaan akan membentangkan Pindaan Akta 355.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan konsensus dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi parti tersebut.

Mengenai pengkritik yang membidas Pas sebagai sudah diperalat UMNO dan BN, Nasrudin berkata, pihak tersebut iri hati dengan langkah Pas yang tidak berganjak untuk membentangkan RUU355 walaupun dikecam banyak pihak khusus musuh politik mereka.

“Jika Pas bentang, mereka kata Pas diperalat oleh UMNO dan BN, kenapa tidak kerajaan BN sahaja yang membentangnya ke Parlimen? Bukankah UMNO menyokong? Maka sepatutnya BN yang bentang, bukan Pas.

“Apabila TPM (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) umum kerajaan BN yang akan bentang Pindaan Akta 355, mereka juga ‘meloncat tidak ketahuan punca’ kononnya Pas kena kencing oleh UMNO. Pada mereka, serba tidak kena,” katanya.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak langsung tidak menjejaskan Pas, sebaliknya situasi ‘kekal pada format asal’.

“Sememangnya, Ahli Parlimen Pas sejak awal telah diletakkan dalam ‘mode standby’ bagi menghadapi perbahasan di Parlimen,” katanya. – MalaysiaGazette.