Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Plat khas ‘RIMAU’ mula dibuka untuk bidaan orang ramai bermula April bagi mempromosikan Temasya Sukan SEA ke-29, Kuala Lumpur 2017, yang akan berlangsung pada Ogos depan.

Inisiatif tersebut diambil Jawatankuasa Pengelola Kuala Lumpur 2017 (MASOC) dan ia akan dilancar hari ini, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

“MASOC juga memperkenalkan inisiatif bagi mempromosikan Kuala Lumpur 2017 dengan memperkenalkan plat khas ‘RIMAU’ yang akan dilancarkan pada petang ini dengan bidaan dibuka kepada orang ramai mulai April 2017.

“Dalam pada itu, MASOC juga akan mengeluarkan barangan cenderamata Kuala Lumpur 2017 yang akan dilancarkan awal Mei untuk jualan kepada umum,” kata Khairy semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pagi ini.

Dalam pada itu, Khairy menjelaskan walaupun peruntukan yang diberikan kerajaan dalam penganjuran temasya kali ini agak ketat, ia tidak menjejaskan persiapan pengelolaan.

Selain itu, 17 buah syarikat juga sudah memberikan penajaan daripada segi wang tunai dan barangan untuk menjayakan temasya yang penting ini, antaranya Teleko Malaysia, Milo, 100 Plus, Ajinomoto, MAHB, SCGM, Prudential, Petronas, Royal Selangor, AirAsia, Asia Pacific Sports, McDonald, Naza, FBT, Sunrise and Companya, Victor dan Marathon.

Sasaran penajaan yang ditetapkan adalah sebanyak RM80 juta iaitu RM30 juta dalam bentuk tunai dan RM50 juta dalam bentuk perkhidmatan dan barangan.

“Jumlah penajaan yang diterima buat masa sekarang adalah sebanyak RM20.5 juta dalam bentuk tunai dan RM48.7 juta dalam bentuk barangan menjadikan keseluruhan adalah sebanyak RM69.2 juta (86.61 peratus daripada sasaran penajaan),” kata Khairy.

Sukan SEA, Kuala Lumpur 2017, akan berlangsung pada 19 hingga 31 Ogos ini.- MalaysiaGazette