Home Dunia AS makin hilang sabar dengan Korea Utara

AS makin hilang sabar dengan Korea Utara

GENEVA – China mesti berusaha lebih untuk memaksa Korea Utara menghentikan program nuklear dan peluru berpandu.

Duta Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Nikki Haley berkata, Presiden Donald Trump akan membangkitkan isu itu pada minggu depan pada sidang kemuncak pertama dengan pemimpin China, Xi Jinping.

Kenyataan itu dikeluarkan di tengah-tengah laporan bahawa Pyongyang sedang bersedia untuk melakukan ujian nuklear.

Haley berkata, Washington tidak akan menyelesaikan isu itu dengan mengadakan satu lagi perbahasan PBB.

“”Saya tidak mempunyai kesabaran untuk itu dan ia tidak membantu sesiapa. Dan, ia bukan mengenai saya. Pentadbiran ini tidak mempunyai kesabaran untuk itu.

“Lihat , adakah kita boleh mengubah cara Korea Utara berfikir? Tidak. Mereka tidak akan menyerah. China boleh dan itulah bahagian yang kita mahu lihat.

“Saya tahu China kata mereka bimbang tentang Korea Utara. Saya tahu China mahu lihat Korea Utara berhenti dengan ujian (peluru berpandu). Buktikan. Buktikan,” katanya.

China, kata Haley, boleh membuktikan ia serius menghalang Korea Utara dengan menguatkuasakan sekatan terhadap eksport arang batu ke negara itu.

Bahkan China telah mengumumkan ia menghentikan import arang batu dari Korea Utara pada 18 Februari lalu – walaupun dalam bulan itu secara keseluruhan perdagangan masih meningkat sebanyak 40 peratus. – MalaysiaGazette