Suasana terharu dan juga ceria menyambut kepulangan sembilan rakyat Malaysia di Kompleks Bunga Raya KLIA.

SEPANG – Ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Malaysia dizahirkan kesemua sembilan rakyat Malaysia yang berjaya dibawa keluar daripada Pyongyang.

Menurut wakil daripada sembilan individi terbabit, Mohd Nor Azrin Md Zain, mereka sangat bersyukur dapat menjejakkan kaki kembali ke Malaysia setelah lebih tiga minggu tidak dibenarkan meninggalkan Korea Utara.

Menceritakan keadaan sebenar di negara itu Azrin berkata, mereka amat takut apabila mendapat khabar dihalang untuk meninggalkan Pyongyang ekoran kematian abang tiri kepada Kim Jong un, Kim Jong nam di Malaysia.

“Kami amat berterima kasih atas usaha kerajaan dalam membawa pulang kami semua dengan selamat. Saya tidak nafikan apabila Korea Utara melarang kami daripada keluar daripada negara itu kami amat risau terutamanya ketika berurusan dengan Korea Utara. Kami semua amat risau dengan ahli keluarga yang bimbang akan keadaan kami.

“Kami tidak diganggu oleh kerajaan Korea Utara pada masa itu dan kami diberikan jaminan bahawa kami boleh teruskan aktiviti seperti biasa. Bagaimanapun kami sedar bahawa kami dilarang daripada meninggalkan Korea Utara dan menyukarkan kami untuk terbang ke Beijing. Kami ke Beijing setiap bulan untuk pindahkan wang dan makanan,” katanya kepada media.

Bagaimanapun, mereka tidak diganggun oleh mana-mana pihak berkuasa Korea Utara malah diberi jaminan boleh meneruskan aktiviti harian di sana namun dilarang meninggalkan negara itu.

“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan apabila setiap hari berhubung dan bertanya khabar kami di sana. Malah kami turut diarahkan memberikan laporan harian mengenai perkembangan kami di sana yang menjadi faktor keselesaan kepada kami bahawa kebajikan kami dititik beratkan oleh kerajaan.

“Banyak kedutaan negara lain yang berpusat di Korea Utara turut membantu kami malah ada yang sanggup memberikan pertolongan dari segi makanan kepada kami ketika itu. Kami juga berterima kasih kepada Kedutaan Vietnam, Indonesia, Laos dan Kemboja serta Pakistan,” katanya lagi.

Azrin antara sembilan individu yang dilarang meninggalkan Korea Utara selepas berlaku konflik diantara Kuala Lumpur dan Pyongyang berhubung kematian Jong nam.

Individu lain adalah Pembantu Peribadi Duta Besar, Noor Saaidah Jamaluddin, 29; suaminya Mohd Radzuan Othman, 29, serta bayi mereka Mohamad Radhiy berusia lapan bulan; S. Nirmala Malar Kodi, 45, (Pegawai Tadbir); isteri Azrin, Iza Karmila Ramli, 35, serta tiga anak iaitu Annur Zulaikha, 6, Aynor Zhafirah, 5, dan Ayscha Zinnirah, 3
tahun.

Konflik antara kedua-dua negara berakhir hari ini apabila mayat Jong nam telah selamat diserahkan kepada Korea Utara selepas proses pelepasan mayat diluluskan koroner Hospital Kuala Lumpur (HKL). -MalaysiaGazette.