Nazri Khan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka naik minggu depan, didorong oleh dana asing yang akan kembali ke negara ini dan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika dengan penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI diunjur bergerak ke paras 1,800 mata.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diunjur menyaksikan kenaikan kukuh setelah pasaran dunia yang teguh termasuk AS dan Eropah.

“Kami yakin Bursa Malaysia akan mengekalkan momentum kukuh yang dilihat pada suku pertama.

“Ia juga akan dipacu oleh tawaran awam permulaan (IPO) baharu akan datang, termasuk Ecoworld International Bhd yang akan disenaraikan pada 3 April, memandangkan permodalan pasarannya yang besar,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, kata beliau, terdapat juga berita mengenai SME Corporation Malaysia yang bekerjasama dengan Bursa Malaysia, untuk mengenal pasti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpotensi untuk disenaraikan di Pasaran PKS pada separuh kedua tahun ini.

Nazri Khan berkata, Majlis Perniagaan AS-ASEAN yang mewakili korporat Amerika, telah menyatakan keyakinan mereka terhadap pelaburan masa depan di Malaysia, terutamanya dengan agenda ekonomi digital Malaysia.

“Mereka yakin ia akan meningkatkan ekonomi Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, di peringkat antarabangsa, Nazri Khan berkata, Britain yang telah memulakan proses keluar dari Kesatuan Eropah secara rasmi, berkemungkinan dapat mengetepikan segala ketidaktentuan.

Dari segi teknikal, beliau berkata, paras halangan bagi FBM KLCI ialah antara 1,780 dan 1,820, manakala sokongan pada paras 1,730 dan 1,700.

Bagi asas minggu ke minggu, FBM KLCI susut 5.66 mata kepada 1,740.09 daripada 1,745.75 pada Jumaat lepas.

Indeks FBM Emas susut 4.17 mata kepada 12,361.69, Indeks FBMT 100 turun 10.31 mata kepada 12,006.69, manakala Indeks FBM Emas Syariah menokok 38.59 mata kepada 12,811.34. FBM 70 melonjak 95.88 mata kepada 14,550.47 dan FBM Ace menambah 107.92 mata kepada 5,827.48.

Mengikut sektor pula, Indeks Kewangan berkurangan 88.4 mata kepada 15,659.67 dan Indeks Perusahaan turun 17.82 mata kepada 3,254.42.

Indeks Perladangan menokok 45.85 mata kepada 8,202.52.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 16.78 bilion unit bernilai RM12.78 bilion daripada 22.23 bilion unit bernilai RM15.24 bilion minggu lepas.

Di Pasaran Utama, jumlah dagangan susut kepada 12.01 bilion saham bernilai RM12.04 bilion daripada 14.74 bilion saham bernilai RM15.16 bilion.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 1.04 bilion unit bernilai RM141.24 juta daripada 1.23 bilion unit bernilai RM149.62 juta.

Pasaran ACE turun kepada 3.67 bilion saham bernilai RM590.18 juta daripada 5.98 bilion saham bernilai RM897.82 juta sebelumnya. – MalaysiaGazette