Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed (kiri) mengecat Tabika Kemas Permatang Kempas pada perasmian Mini Karnival #KitaPulai di Permatang Kempas di sini hari ini.

JOHOR BAHRU – Tindakan pakatan pembangkang cuba menjuarai isu penahanan semula Siti Noor Aishah Atam disifatkan sebagai usaha mencari peluang untuk menunjukkan kononnya mereka bersatu tetapi hakikatnya sudah berpecah.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, beliau percaya tindakan pakatan pembangkang itu juga semata-mata bertujuan meraih simpati masyarakat Melayu dengan memainkan sentimen dan emosi masyarakat Melayu.

“Yang soal Siti Noor Aishah itu jangan diperbesarkan lagi dan biar polis buat kerja mereka, pembangkang masa nilah nak cari peluang, mereka ini dah berpecah….dah takde isu lagi boleh menggabungkan mereka.

“Polis tidak akan menahan mana-mana orang sekiranya mereka langsung tidak terlibat dengan aktiviti yang didapati cenderung kepada kegiatan keganasan, biar polis buat kerja mereka dan menilai sama ada Siti Noor Aishah itu betul terlibat dengan aktiviti keganasan.

“Jadi, tak perlulah pembangkang nak datang bela Siti Noor Aishah sedangkan mereka ini (pembangkang) membelanya dengan cara tidak jujur. Inilah cara pembangkang yang mahu meraih undi rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mini Karnival #KitaPulai di Permatang Kempas di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai penahanan semula Siti Noor Aishah, 29, di bawah Sosma, 27 Mac lepas dan kini ditempatkan di Penjara Kajang.

Penahanan dilakukan ketika Siti Noor Aishah hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur susulan rayuan dibuat Timbalan Pendakwa Raya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskannya pada Sept lepas.

Siti Noor Aishah sebelum ini ditahan pada Mac, tahun lepas, di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan dan Sosma, kerana memiliki 12 buku yang didakwa berkaitan kumpulan pengganas. – MalaysiaGazette.