Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kanan) diiringi Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Abdul Kadir Abu Hashim (dua kanan) melihat hidupan liar dilindungi pelbagai spesis yang berjaya dirampas Perhilitan dalam operasi Op Taring V ketika sidang media di Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Cheras, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 01 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Cubaan menjual 50 hidupan liar dilindungi pelbagai spesies secara dalam talian dan di pasaran tempatan berjaya ditumpaskan Jabatan Perhilitan dengan tertangkapnya 11 orang suspek.

Kesemua suspek berusia antara 21 hingga 51 itu dicekup dalam empat serbuan Ops Taring Ke-5 Perlindungan Hidpan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) secara berasingan pada 27 Mac dan 29 Mac lalu.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam sidang media bersama Ketua Pengarah Abdul Kadir Abu Hashim mendedahkan kejayaan itu di Ibu Pejabat, Jalan Cheras.

Kata beliau, Dalam serbuan pertama di Sentul, seorang penunggang motosikal lelaki warga Pakistan berusia 46 tahun ditahan ketika membawa dua buah kotak yang mengandungi tiga ekor anak lotong sebelum direman tiga hari.

“Dalam serbuan kedua pula di Ampang pula Perhilitan berjaya menangkap seorang lagi saspek wanita tempatan berusia 36 tahun direman kerana menyimpan tiga ekor musang, tujuh lotong dan enam ekor kucing batu (Asiatic Leopard Cat).

“Serbuan ketiga sekitar 9.30 malam pada 27 Mac penguatkuasa kami dari Negeri Sembilan telah menangkap dua kenderaan yang dinaiki lima suspek berumur lingkungan 21 hingga 25 tahun di sebuah tempat letak kereta stesen minyak berhampiran Tol Senawang.

“Hasil pemeriksaan sebanyak 28 ekor Indian Star Tortoise dan dua ekor burung Tiong Mas berjaya dirampas dan kesemua tujuh saspek merupakan pembekal utama hidupan liar yang aktif berurusniaga jualan hidupan liar secara haram di dalam talian,” katanya kepada pemberita di sini.

Kesemua hidupan liar yang dirampas daripada sindiket adalah bernilai RM75,000.

Tambahnya, perhilitan telah lama memantau kegiatan sindiket itu dan percaya telah menumpaskan sindiket utama penjualan haram hidupan liar menggunakan media sosial di Semenanjung Malaysia.

“Amaran keras kepada mana-mana individu yang menjual, menyimpan atau memiliki hidupan liar tanpa kebenaran Perhilitan akan berdepan tindakan berat jika tidak menghentikan kegiatan mereka.

“Orang awam juga yang berminat untuk memelihara hidupan liar agar mematuhi perundangan yang berkuatkuasa dan sekiranya ada yang terbeli secara haram supaya memulangkan kepada kami segera mengelak tindakan keras.

“Perhilitan akan melepaskan spesies hidupan liar berkenaan dalam hutan dan akan berhubung dengan pihak berkuasa negara luar untuk penghantaran pulang spesies liar yang diseludup masuk ke sini,”tegasnya lagi.

Beliau berkata, kementerian menyiasat sama ada pemandu sebuah bas yang dirampas semasa operasi Perhilitan, bersubahat dalam kegiatan ini.

“Kami sedang mengkaji undang-undang sedia secara menyeluruh termasuk melibatkan Jabatan Perhilitan antaranya penguatkuasaan dan hukuman berat seperti merampas, menyita dan sebagainya supaya diberatkan lagi terhadap pesalah,”jelasnya.

Sementara itu, Abdul Kadir menjelaskan dalam satu lagi operasi berasingan sekitar 2.30 pagi pada 29 Mac pula,Perlihatan telah menahan sebuah kereta pacuan empat roda di Gerik, Perk dan menahan empat lelaki berusia 35 tahun hingga 51 tahun.

“Mereka ditahan setelah penguatkuasa Perhilitan menemui seekor kijang disyaki ditembak mati dalam kotak Polisterin dan selaras senapang patah dan dua bilah pisau.

Ujarnya, modes operandi sindiket menggunakan bas untuk membawa haiwan dilindungi untuk jualan dalam talian media sosial dipasaran tempatan sejak empat tahun lalu.

Katanya lagi, sebanyak 10 kes operasi penyeludupan dan jualan menggunakan pengangkutan bas ini dikesan berlaku sejak empat tahun lalu dan pembeli terdiri daripada pelajar kolej dan anak orang kaya sebagai hobi memelihara binatang liar.

“Modus operandi mereka jual dalam talian dan mereka disyaki mempunyai rangkaian penyeludupan dalam talian dan darat menggunakan bas dan sebagainya kian lama,” ujarnya lagi.

Katanya suspek warg Pakistan dan wanita tempatan telah dituduh di mahkamah, dijamin dengan RM30,000 dan akan dibicarakan di mahkamah pada 21 April ini.

Manakala tujuh lagi masih direman untuk disiasat dibawah Seksyen 60, Seksyen 68 dan Seksyen 78 atas kesalahan menyimpan tanpa lesen dan memburu hidupan liar secara haram yang memperuntukkan denda maksimum sehingga RM100,000 dan penjara. – Malaysiagazette