Tan Sri Annuar Musa

KOTA BHARU – Tahap kesihatan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa semakin baik dan dijangka keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dalam tempoh dua hari lagi.

Pegawai Khasnya, Mohd. Fadhil Yusof berkata, Ahli Parlimen Ketereh itu menunjukkan perkembangan yang positif selepas dirawat Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU) hospital tersebut sejak semalam.

Bagaimanapun katanya, beliau masih tidak dibenarkan menerima pelawat dan hanya keluarga terdekat sahaja boleh menemuinya.

“Doktor mengesahkan keadaan kesihatan beliau tidak membimbangkan namun menasihatkan supaya banyak berehat termasuk mengambil cuti selepas dibenarkan keluar dari hospital,” katanya.

Annuar dimasukkan ke CCU pada pagi semalam apabila mengadu sakit dada dan kepala serta muntah-muntah sejurus selepas menunaikan solat Subuh di rumahnya di Seri Puri, Bukit Marak dekat sini. – MalaysiaGazette