Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR – Bimbang kenyataannya disalah tafsir oleh sesetengah pihak termasuk media pro pembangkang, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini enggan mengulas saranan agar rakyat Malaysia menukar pemikiran tidak tergesa-gesa membeli rumah ketika muda.

Menteri Wilayah Persekutuan itu sebaliknya hanya mahu menjawab soalan yang mempunyai kaitan dengan program yang dihadiri di padang bola sepak Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi di sini.

“Tak apalah, saya tak mahu ulas perkara ini,” jawabnya ringkas.

Tengku Adnan dilihat lebih berhati-hati dalam menjawab soalan ekoran pengalamannya yang sebelum ini beberapa kali dijadikan bahan kritikan di media sosial termasuk yang terbaharu apabila mencadangkan untuk melarang `kapcai’ daripada memasuki pusat bandar Kuala Lumpur.

Memetik laporan sebuah portal pro pembangkang, Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilapor ada menyarankan agar rakyat Malaysia menukar pemikiran membeli rumah ketika muda untuk mengelak menanggung hutang jangka panjang yang besar.

Malah, laporan itu menyebut sebagai alternatif, Johari berkata lebih banyak rumah mampu milik perlu dibina bagi tujuan sewaan.

Dengan mengambil contoh dikebanyakan negara, Johari dilapor berkata, masyarakat disesetengah negara seperti United Kingdom memilih untuk menyewa bagi tempoh masa lebih lama sehingga mereka mempunyai wang mencukupi untuk membeli rumah.

Untuk rekod, Tengku Adnan merupakan menteri yang berusaha keras terhadap pembinaan projek Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan – MalaysiaGazette