Muhyiddin Yassin UKSB Home Minister
Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini menyelar tindakan polis yang membatalkan penganjuran debat terbuka antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Narzi Aziz baru-baru ini.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menuduh pembatalan itu bercanggah dengan Perkara 10, Perlembangaan Persekutuan.

“Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak setiap warganegara untuk berhimpun secara aman dan hak ini hanya boleh disekat oleh undang-undang atas sebab keselamatan atau ketenteraman awam.

“Debat yang dijadualkan akan diadakan di Dewan Karangkraf, Shah Alam, iaitu satu tempat tertutup dengan jumlah hadirin yang terhad bukanlah satu ancaman kepada keselamatan atau ketenteraman awam.

“Seorang yang waras tentunya tidak dapat membayangkan bagaimana debat antara dua orang tokoh politik yang diadakan di tempat yang tertutup dan terkawal boleh bertukar menjadi ancaman kepada keselamatan.” kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Mengikut rekod, Muhyiddin berkata, debat seumpama ini pernah diadakan pada 2008 di Dewan Bahasa dan Pustaka dan berakhir dalam keadaan aman.

Debat di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Menteri Penerangan ketika itu) ada membincangkan isu kenaikan harga minyak yang merupakan isu politik yang hangat dibincangkan pada ketika.

Katanya, ia berlangsung dalam suasana aman tanpa sebarang ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam.

“Saya percaya suasana yang sama akan dapat dilihat dalam debat antara Tun Dr Mahathir dan Nazri jika ia dibenarkan berlangsung. Mereka yang hadir sudah tentu ingin mendengar hujah kedua-pihak dan bukannya untuk menimbulkan huru-hara.

“Justeru, tindakan pihak polis menghalang debat ini atas alasan keselamatan adalah tidak munasabah dan tidak berperlembagaan,” katanya.

Sabtu lalu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob mengumumkan debat terbuka yang sepatutnya berlangsung di Dewan Karangkraf, Seksyen 15 pada 7 April ini dibatalkan oleh polis atas alasan keselamatan. -MalaysiaGazette.