Nazri Aziz

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Nazri Aziz mendakwa punca debat antara beliau dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dibatalkan disebabkan masalah yang dialami oleh pihak polis.

Sambil berseloroh, menteri pelancongan itu memberitahu, polis mungkin melihat dirinya sebagai ancaman keselamatan hingga mendorong debat itu dibatalkan.

“Mahathir orang tua dan bukan ancaman langsung kepada keselamatan negara. Saya fikir saya punca polis batalkan (perbahasan), mungkin saya seperti gangster, saya tidak tahu,” katanya lapor sebuah laman portal pro pembangkang.

Nazri turut menolak spekulasi yang mengatakan Datuk Seri Najib Razak terlibat dengan pembatalan debat berkenaan.

Sebaliknya beliau berkata, perdana menteri berterima kasih kepadanya kerana berani untuk berdebat dengan bekas perdana menteri itu.

“Kita berjumpa di Parlimen dua minggu lalu. Beliau (Najib) mengucapkan terima kasih kepada saya kerana sudi berdialog dengan Mahathir.

“Jadi, saya tidak fikir perdana menteri puncanya (debat itu dibatalkan),” katanya seperti dilaporkan.

Dalam pada itu Nazri turut menafikan beliau gentar untuk berdebat dengan Mahathir, sebaliknya yakin mampu berdepan bekas ketuanya itu dengan mudah.

“Saya tidak fikir berbahas dengan Mahathir ini tidak membolehkan saya tidur malam. Waktu dia perdana menteri pun saya ada lawan dan saya menang.

“Apatah lagi sekarang dia bukan perdana menteri dan saya menteri. Jadi, saya nak beritahu saya bukanlah bisu. Takde hallah, small matter nak lawan dengan beliau.

“Tak perlu buat persediaan sebab yang cakap tidak betul beliau (Mahathir), bukan saya, jadi bila kita bercakap betul, kita boleh bercakap di mana-mana, tak jadi masalah kepada kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette