Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak akan membuat apa-apa keputusan mengenai kedudukan Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe dalam masa terdekat apabila individu itu dikatakan bakal dilantik menjadi Penolong Jurulatih Harimau Malaysia.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pengurusan tertinggi KFA itu bagaimanapun mengesahkan pihaknya menerima notis penamatan kontrak daripada Cheng Hoe pada 1 April lalu dan telah meneliti kandungan surat berkenaan.

Presiden KFA,  Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, selepas meneliti surat berkenaan, pihaknya mahu Cheng Hoe diminta mengemukakan surat tawaran rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Selagi tiada tawaran rasmi dan pengesahan dari pihak FAM, KFA tidak akan membuat apa-apa keputusan mengenai kedudukan Cheng Hoe dalam masa terdekat.

“Setakat ini tiada permohonan rasmi yang diterima KFA dari FAM mengenai hasrat mereka untuk melantik Cheng Hoe sebagai Penolong Jurulatih Harimau Malaysia.

“Secara status quo, Cheng Hoe kekal sebagai ketua jurulatih pasukan Kedah kerana beliau masih terikat dengan kontrak perkhidmatan bersama KFA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menyusul selepas Cheng Hoe mendapat liputan meluas media arus elektronik dan cetak serta media sosial apabila disebut-sebut bakal mengisi jawatan sebagai penolong kepada jurulatih kebangsaan, Mario Gomez.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Bashah menambah, KFA akan membuat keputusan selanjutnya selepas meneliti perkara-perkara yang disebutkan di atas.

“KFA amat memandang serius dengan artikel- artikel di media massa yang boleh memberi imej buruk kepada KFA.

“Diharapkan pihak media lebih berhati-hati dalam menyampaikan maklumat dan mendapatkan pengesahan terlebih dahulu dari pihak KFA,” tegasnya yang juga Menteri Besar Kedah.

Terdahulu, Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi kenyataannya di media sosial semalam menafikan segala dakwaan yang dikeluarkan pihak-pihak luar mengenai Cheng Hoe.

Baginda bertitah, keputusan itu dibuat olehb Gomez tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

TMJ menafikan khabar angin mengaitkan Tan Cheng Hoe dan FAM dalam kenyataan menerusi ruang rasmi Facebook FAM semalam.
TMJ menafikan khabar angin mengaitkan Tan Cheng Hoe dan FAM dalam kenyataan menerusi ruang rasmi Facebook FAM semalam.

“Untuk makluman semua, selepas saya melantik Mario Gomez sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan, saya telah berikan kebebasan kepada beliau untuk memilih sesiapa sahaja yang beliau mahu bekerja bersama tetapi dengan syarat iaitu penolong jurulatih beliau mestilah jurulatih tempatan.

“Dan Mario sendiri menyatakan bahawa beliau berminat dengan Tan Cheng Hoe oleh kerana dalam ramai-ramai jurulatih tempatan, Tan Cheng Hoe adalah yang terbaik baginya.

“Tetapi ia terpulang kepada Tan Cheng Hoe untuk menerimanya atau tidak,” titah baginda.

Selain Tan Cheng Hoe, TMJ bertitah, Mario juga memilih Raul Longhi yang kini menjadi penolong jurulatih JDT, jurulatih penjaga gol, Azmin Azram Abdul Aziz, jurulatih kecergasan dari luar negara (Itali atau Argentina) dan koordinator pasukan kebangsaan daripada AFC.

“Jadi, ini bukanlah satu perancangan untuk menjatuhkan mana-mana pihak seperti mana yang telah diuar-uarkan oleh laman tidak rasmi yang sehingga hari ini belum pernah berdepan dengan saya,” tegas beliau. -MalaysiaGazette