S. Subramaniam

KUALA LUMPUR – Kerajaan India bersetuju untuk mengekalkan kadar lama visa pelancong bertempoh enam bulan pada harga RM180

Presiden MIC Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, beliau terkejut dan kecewa dengan pengumuman kenaikan harga visa sebanyak 150 peratus kepada RM456, berkuatkuasa 1 April lalu.

Subramaniam memberitahu, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, T.S. Tirumurti telah mengarahkan pihaknya untuk mengekalkan kadar lama pelancong.

“Saya telah memanjangkan kekecewaan kami (rakyat Malaysia) kepada Pesuruhjaya Tinggi India berhubung kenaikan kadar visa oleh kerajaan India kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan dari India pagi ini.

Subramaniam yang Menteri Kesihatan kini berada di India kerana mengikuti lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selama enam hari ke negara itu.

Mengulas lanjut, Subramaniam menjelaskan, Tirumurti yang juga berada di India berjanji untuk mengkaji semula cadangan lain yang berkaitan dengan kenaikan harga visa oleh kerajaan India sejak dua hari lalu.

“Beliau (Tirumurti) janji pihaknya akan mengkaji semula segala cadangan kerajaan India itu setelah kembali dari New Delhi nanti.

“Saya juga telah membincangkan secara serius isu visa ini dengan Perdana Menteri (Najib) dan beliau berjanji akan memastikan kebimbangan kita dibawa kepada perhatian Menteri Hal Ehwal Luar India,” katanya¬†– MalaysiaGazette