Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

KUALA LUMPUR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga hari ini masih belum menerima sebarang laporan penilaian impak persekitaran (EIA) daripada pemaju projek kerajaan negeri Pulau Pinang bagi cadangan penambakan laut melibatkan pembinaan tiga buah pulau buatan di negeri tersebut.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata JAS hanya menerima Terms of Reference (TOR) laporan EIA yang disediakan jururunding, Dr. Nik & Associates Sdn. Bhd. (DNA) bagi pihak pemaju projek pada 11 Februari 2016 dan telah diluluskan pada 23 Mei tahun lalu.

“Cadangan penambakan laut bagi pembinaan tiga buah pulau buatan di Pulau Pinang adalah tertakluk di bawah Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di mana pemaju projek dikehendaki mengemukakan laporan EIA kepada JAS untuk kelulusan, memandangkan projek tersebut merupakan aktiviti yang ditetapkan di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015.

“Sehingga kini JAS masih belum menerima Laporan EIA. Pemaju projek dikehendaki menyediakan Laporan EIA dengan menjalankan kajian impak ke atas isu-isu kritikal antara lainnya impak kepada kualiti air, hidraulik, ekosistem dan sosio ekonomi nelayan setempat,” kata Wan Junaidi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya dalam jawapan bertulis di Parlimen hari ini.

“JAS akan mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan dibawahnya kepada pemaju projek sekiranya projek telah dimulakan tanpa laporan EIA disediakan dan tidak mendapat kelulusan daripada JAS.

“Ketidakpatuhan terhadap syarat-syarat kelulusan EIA projek tersebut seperti mengeluarkan notis arahan, kompaun atau tindakan mahkamah bagi projek yang telah mendapat kelulusan laporan EIA.” tambahnya.

Disamping itu, JAS boleh mengenakan perintah berhenti kerja atau perintah larangan bagi projek yang belum mendapatkan kelulusan EIA, ketidakpatuhan terhadap syarat-syarat kelulusan EIA atau yang menyebabkan pencemaran yang serius. – Malaysia Gazette