Nazri Aziz

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencadangkan agar debat antara beliau dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dibuat sama ada di dewan Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras ataupun di Antartika.

Mohamed Nazri yang kesal dengan pembatalan permit debat itu di Karangkraf pada 7 April ini sambil menyindir berkata, dua lokasi berkenaan dilihat lebih selamat daripada timbulnya rusuhan.

“Kalau boleh dicadangkan buat di auditorium PDRM Cheras, saya diberitahu tempat itu besar dan itu tempat polis dan kita minta pihak polis jadi penganjur kepada wacana ini.

“Kalau di Malaysia sudah tak boleh, kita buat di Antartika sebab di sana banyak penguin, jadi penguin tak faham bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Jadi tiada rusuhan (berlaku),” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pembatalan debat antara beliau dengan Dr Mahathir yang dijadualkan pada 7 April ini di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 1 April lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob berkata, pembatalan ini dibuat selepas pihaknya menerima surat daripada Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, pada petang Sabtu lalu.

Pembatalan debat itu merupakan kali kedua selepas polis membatalkan majlis sama pada awalnya dijadualkan diadakan di Padang Rengas pada 25 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri turut menyifatkan tindakan polis itu bagaikan beliau sebagai ancaman kepada keselamatan negara apabila beliau selaku menteri Kabinet pun dihalang meneruskan debat yang dijamin oleh Perlembagaan.

“Saya tak boleh bayangkan kalau saya sebagai menteri merupakan ancaman kepad negara, apatah lagi kalau saya ini pembangkang.

“Mungkin pihak polis merasakan apa yang Mahathir sebut iaitu Nazri mungkin nak buat kenyataan yang mengenjutkan seperti meninggalkan kerajaan, masuk mereka (pembangkang), mungkin polis percaya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri juga menolak pembatalan debat berkenaan ada kena mengena dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya juga jumpa perdana menteri dua minggu lepas masa datang untuk menjawab soalan pada Isnin, masa nak masuk itu (Parlimen) PM mengucapkan terima kasih kepada saya kerana sanggup mengadakan wacana dengan Mahathir bagi mempertahankan beliau.

“Saya tidak fikir PM menjadi punca ini (pembatalan),” katanya lagi. – MalaysiaGazette