PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengkaji semula pembatalan permit debat terbuka antara bekas Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Nazri Aziz yang sudah dua kali dibatalkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembatalan itu langsung tidak kena mengena dengan kerajaan.
“Saya akan melihat semula alasan-alasan yang diberikan oleh pihak berkuasa terhadap pembatalan itu.
“Ini bukan keputusan yang dibuat oleh saya apatah lagi bersangkut dengan Perdana Menteri. Ianya adalah keputusan mutlak daripada pihak berkuasa Selangor dan Perak,” katanya ketika ditemui media di Putrajaya hari ini.
Ahmad Zahid sebelum itu  hadir pada program lawatan Sekolah Antarabangsa Arab Moden di Putrajaya.
Sabtu lalu, polis Selangor bertindak menarik balik permit yang sudah mendapat kelulusan untuk debat yang dijadualkan pada 7 April itu diadakan di ibu pejabat Karangkraf di Shah Alam.
Perkara itu kemudiannya diumumkan Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob.
Sebelum ini, debat itu sepatutnya berlangsung di Kuala Kangsar pada 25 Mac, tetapi dibatalkan selepas polis Perak atas alasan yang sama.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ia adalah keputusan yang dibuat sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kedua-dua negeri berkenaan.
“Debat antara Tun Dr. Mahathir dan Datuk Seri Nazri Aziz, keputusan pembatalan debat di Kuala Kangsar dan Shah Alam adalah diputuskan sepenuhnya oleh pihak Ketua Polis Selangor dan Pemangku Ketua Polis Perak kerana ia merupakan keputusan operasi ianya tidak dirujuk kepada saya selaku Menteri Dalam Negeri apatah lagi kepada Perdana Menteri,” katanya lagi.
Pembatalan debat terbuka berkenaan mendapat reaksi negatif daripada Mahathir yang kini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia mahu pun Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.
Mahathir pada Ahad mempersenda keputusan polis yang membatalkan permit kebenaran debat antara beliau dan Datuk Seri Nazri Aziz atas alasan aduan daripada penduduk.
Nazri yang tidak berpuas hati dengan pembatalan buat kali kedua berkenaan debatnya bersama Mahathir secara sinis mencadangkan ia diadakan di luar negara.
“Mungkin kita boleh adakan di London atau Greenland, atau Antartika. Bila-bila masa tiada masalah.
“Jika di Malaysia pun sudah tidak boleh, kita buat di Antartika sebab di sana hanya ada penguin.
“Tambahan mereka pun tidak faham Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, jadi mungkin tiada kekecohan,” sindir Nazri di Dewan Rakyat, petang kelmarin.
Ahmad Zahid juga memberitahu, sekiranya terdapat keperluan untuk debat itu diteruskan maka KDN sendiri yang akan mengeluarkan arahan untuk meluluskan debat antara kedua-dua pemimpin berkenaan.
“Sekiranya debat berkenaan patut diteruskan, KDN akan arahkan polis beri permit. Ini kerana mereka tidak mendedahkan alasan pembatalan berkenan kepada umum,” katanya. – MalaysiaGazette.