V. Sivakumar.

KUALA LUMPUR – Kerajaan didakwa gagal mewujudkan dana pendidikan, seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), untuk membantu anak-anak miskin kaum India di negara ini.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar berkata, kaum India yang miskin juga mengharapkan kerajaan menyediakan bantuan pendidikan kepada anak mereka.

Jelasnya, setiap tahun ratusan pelajar India yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam tidak ditawarkan kursus yang mereka minati.

“Ibu bapa yang kurang berada juga tidak dapat menunaikan hasrat hati anak mereka ekoran kesempitan hidup sehingga terpaksa menguburkan niat mereka.

“Ini kerana kerajaan gagal mewujudkan dana pendidikan seperti MARA untuk membantu anak-anak miskin kaum India ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak yang memuji kewujudan MARA menaja pendidikan pelajar miskin bumiputera berkata, kini, terdapat 9,871 orang pelajar tajaan MARA di luar negara dan daripada jumlah itu seramai 3,100 orang adalah pelajar yang mengikuti jurusan perubatan, pergigian dan farmasi.

Bagi tahun 2017, katanya, MARA menyasar menaja 450 orang pelajar cemerlang di dalam dan di luar negara dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.

“Saya secara prinsipnya bersetuju dengan kaedah kerajaan dalam membantu anak-anak Bumiputera yang mana golongan miskin perlu dibantu tanpa mengira agama dan bangsa.

“Tetapi, kerajaan gagal membantu anak-anak miskin kaum India yang memperoleh keputusan yang cemerlang.

“Apakah kerajaan akan terus membisu dalam soal pendidikan anak-anak miskin ini?,” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast