Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (tengah) bersama Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar pada sidang media di Parlimen hari ini.
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Shah Alam menggesa Speaker Dewan Rakyat mencabar keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mendakwa penyerangnya di Parlimen pada November lalu di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Khalid Samad mendakwa, tindakan itu wajar dicabar memandang Tan Sri Pandikar Amin Mulia merupakan speaker yang berkewajipan mempertahankan kemuliaan institusi parlimen.

“Sebagai speaker, Tan Sri (Pandikar) berkewajipan mempertahankan kemuliaan institusi Parlimen, ahli Parlimen dan kakitangannya.

“Seharusnya mereka didakwa di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan yang digubal khas oleh Dewan Rakyat atau Parlimen ini untuk melindungi ahli Parlimen,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau mengulas tindakan undang-undang ke atas lapan penyokong ahli Parlimen Pasir Salak yang didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100.

Pada 24 November tahun lalu, Khalid diserbu sekumpulan penyokong dari Pasir Salak, selepas berlaku pertikaman lidah dengan ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Tajuddin Abdul Rahman di Parlimen.

Ia berikutan tindakan Tajuddin yang juga Ketua Bahagian UMNO Pasir Salak melabelkan ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai satu-satunya wanita yang mempunyai ‘kok’.

Khalid juga berkata, menggesa Pandikar untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Apandi sekiranya peguam negara itu masih berkeras menggunakan Akta Kesalahan Kecil .

“Pejabat Tan Sri berkewajipan untruk mengambil tindakan undang-undang terhadap golongan berkenaan (penyokong Parlimen Pasir Salak) mengikut bidang kuasa Tan Sri sebagai speaker,” katanya lagi.- MalaysiaGazette