Pengerusi Pemegang Amanah Yayasan Kepong, Datuk Rizuan Abd Hamid bercakap pada sidang media semasa perasmian dan pembukaan jambatan dari bulatan Mergastua ke jalan 1/40 Kepong di Jalan Mergastua, Kepong. foto FAREEZ FADZIL, 4 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Kepong, Datuk Rizuan Abdul Hamid yakin Barisan Nasional (BN) akan dapat memenangi hati rakyat di Kepong untuk kembali menyokong kerajaan walaupun majoriti penduduknya adalah kaum Cina.

Menurut Rizuan, melalui pelbagai usaha pembangunan dan kemudahan yang disediakan kerajaan, pihaknya yakin majoriti pembangkang akan berjaya dikurangkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

“Kawasan ini kawasan majoriti pengundi Cina. Pengundi Cina ada 59,000, Melayu ada 3,000 dan India ada 4,000. Kawasan ini kemungkinan besar (BN) tidak boleh menang PRU, jadi untuk kurangkan majoriti pembangkang Insya Allah boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Pembukaan Jambatan dari Bulatan Mergastua ke Jalan 1/40, Kepong, di ibu negara hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Rizuan yang juga Pengerusi Pemegang Amanah Yayasan Kepong berkata, kerajaan telah membuktikan keprihatinannya kepada rakyat di Kepong melalui pelbagai pembangunan yang diperlukan.

“Rakyat mula membuka mata, rakyat lihat kerajaan mula membela nasib mereka, maka kita harap sekurang-kurangnya ada perubahan (daripada segi sokongan rakyat).

“Sekarang dengan ada jambatan ini, ia boleh memintas kesesakan lalu lintas. Kawasan setinggan di Kepong juga sudah tidak ada. Banyak kompleks beli belah dibangunkan di sini, banyak PPR (Projek Perumahan Rakyat), MRT (Transit Aliran Massa) yang akan datang akan menghubung jalan di Kepong daripada Stesen Sungai Buloh,” katanya.

Tambahnya, dengan kehadiran jambatan bernilai RM23 juta itu juga mampu mengelakkan berlakunya kemalangan berikutan jalan sempit sebelum ini.

Jambatan tersebut sepanjang 600 meter, katanya, adalah penantian selama 17 tahun penduduk Kepong yang dijangka akan mengurangkan waktu perjalanan pengguna kepada 30 minit ke pusat bandar Kuala Lumpur. – Malaysia Gazette