BEIRUT – Satu serangan gas yang dipercayai dilakukan oleh pesawat kerajaan Syria di wilayah barat laut, Iblib hari ini meragut sekurang-kurangnya 58 nyawa, termasuk 11 kanak-kanak di bawah umur lapan tahun, kata pemantau peperangan dan pekerja perubatan di kawasan yang dikuasai pemberontak.
Sumber tentera Syria menafikan tentera menggunakan senjata seumpama itu.
Serangan tersebut menyebabkan ramai sukar bernafas atau pengsan dan terdapat juga buih keluar daripada mulut, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia untuk Syria memetik sumber perubatan yang menggambarkannya sebagai tanda serangan gas.
Serangan udara ke atas bandar Khan Sheikhoun, di selatan di kawasan yang dikuasai pemberontak Idlib juga mencederakan 60 orang, kata Observatory, kumpulan pemantau peperangan yang berpangkalan di Britain.
“Pada pukul 6.30 pagi ini, pesawat perang menyasarkan Khan Sheikhoun dengan gas, dipercayai sarin dan klorin,” kata Mounzer Khalil, ketua pihak berkuasa kesihatan Idlib sambil menambah 50 orang terbunuh dan 300 lagi tercedera akibat serangan tersebut.
“Kebanyakan hospital di wilayah Idlib kini dibanjiri mereka yang mengalami kecederaan,” katanya pada sidang media di Idlib.
Pesawat perang kemudian menyerang sebuah pusat perubatan di mana mangsa serangan menerima rawatan, kata Observatory dan pekerja pertahanan awam.
Pertahanan awam juga dikenali sebagai ‘White Helmet’ (perkhidmatan menyelamat yang beroperasi di kawasan pembangkang Syria) berakata, pesawat-pesawat juga menyerang salah sebuah pusatnya di kawasan tersebut yang terletak berhampiran dengan pusat perubatan itu.
Ia menandakan serangan kimia yang paling banyak mengiorbankan nyawa di Syria sejak gas sarin membunuh beratus-ratus orang awam di Ghouta, dekat Damsyik pada Ogos 2013. Negara-negara Barat berkata, kerajaan Syria bertanggungjawab terhadap serangan tersebut. Damsyik pula menyalahkan puak pemberontak. – Reuters
















