SK Devamany

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa sehingga 1 Januari 2017, seramai 1,651 pelajar telah ditaja oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di United Kingdom.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Datuk Seri S.K.Devamany berkata kerajaan masih berhasrat untuk menghantar pelajar ke UK di bawah Program Penajaan Nasional (PPN).

“Program ini merupakan penajaan kepada 20 pelajar paling cemerlang Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berdasarkan senarai nama yang dikemukakan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM),” katanya di Dewan Rakyat di sini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen PAS-Pengkalan Chepa Dr. Izani Husin mengenai jumlah pelajar Malaysia tajaan JPA di UK dan adakah kerajaan berhasrat menghentikan penghantaran pelajar ke sana.

Devamany menambah, buat masa ini kerajaan tidak bercadang untuk menghentikan penghantaran pelajar ke UK.

Malah beliau juga menjelaskan penajaan itu melibatkan pengajian di peringkat persediaan dan Ijazah Pertama dalam pelbagai bidang di sepuluh universiti terkemuka dunia.

“Antara universiti terkemuka yang diberi penekanan ialah Oxford, Univerisity of Cambridge, Imperial College of London School of Economics and Political Science (LSE) di UK,” ujarnya.

Malah katanya JPA juga mempunyai lima saluran bagi membantu lebih ramai pelajar cemerlang di bawah program cemerlang 9A+ akan diberi peluang melanjutkan pelajaran dalam negara sahaja.

“Selain itu, program khas di negara berteknologi maju iaitu seperti Jepun turut menyaksikan penghantaran pelajar cemerlang 7A ke Jepun, Perancis dan sebagainya,” katanya.

Selain JPA, Devamany menegaskan terdapat juga biasiswa tajaan swasta seperti Sime Darby, Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk membantu pelajar cemerlang ke luar negara.

Devamany turut ditanya kriteria yang dipertimbangkan kerajaan dalam memilih negara untuk pelajar Malaysia meneruskan pengajian dan kenapa tidak menghantar ke negara lain selain UK yang berteknologi tinggi.

Devamany sebagai menjawab pertanyaan soalan Ahli Parlimen BN-Pendang Datuk Othman Abdul menjelaskan, kerajaan sememangnya mengikut tuntutan perubahan dunia yang berbeza sekarang dalam sektor pengajian tinggi.

“Kita ada ramai graduan perubatan kalau lihat dulu, nak lanjutkan pengajian di UK sahaja dalam kursus peguam, doktor, jurutera dan sebagainya.

“Kini kita pelbagaikan tuntutan kita pilih bidang lain mengikut perubahan dunia dan menghantar pelajar tajaan JPA ke Program khas kejuruteraan di Jepun, Korea Selatan, Perancis dan Jerman,” tegasnya lagi sejak tahun 2012 lagi. – MalaysiaGazette