Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyangkal Presiden Donald Trump yang mendakwa amalan perdagangan yang tidak adil menyebabkan Amerika Syarikat dibebani dengan defisit lebih daripada AS$50 bilion.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia yang menyokong perdagangan bebas tidak memanipulasi mata wang negara dan memberi subsidi yang melanggar peraturan antarabangsa selaras dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)

“Kami menolak tuduhan itu kerana kita tidak mengamalkan penipuan dalam perdagangan. Kita melaksanakan perdagangan bebas dan adil.

“Lagipun, Amerika Syarikat adalah rakan dagang yang penting dan Malaysia menghargai hubungan dagangan ini,” katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini Trump menyenaraikan Malaysia antara negara yang menyebabkan kuasa ekonomi dunia itu mengalami defisit perdagangan.

Selain Malaysia, negara lain yang disenaraikan ialah China, Jepun, Ireland, Vietnam, Itali, Korea Utara, Jerman, Thailand, India, Perancis, Indonesia, Kanada dan Switzerland.

Katanya, lebihan dagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat adalah AS$6 bilion tetapi pentadbiran Trump telah meletakan angka lebih besar.

“Kita percaya polisi Malaysia selari dengan amalan dalam perdagangan antarabangsa,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan MITI untuk membuat penjelasan dan memperbetulan tuduhan yang dibuat oleh Trump.

Beliau tidak mahu hubungan dua hala akan terjejas kerana Amerika Syarikat adalah rakan dagang utama Malaysia.

Kuasa ekonomi terbesar dunia itu adalah rakan dagangan ketiga terbesar selepas China dan Singapura. – MalaysiaGazette