Ismail Nasaruddin

KUALA LUMPUR – Kesatuan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) meminta individu-individu yang diminta menanggalkan pakaian dalam semasa temuduga dengan Malindo Air tampil membuat aduan.

Presidennya, Ismail Nasarudin berkata, NUFAM juga akan memfailkan aduan terhadap syarikat penerbangan itu kepada Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Buruh.

Menurut beliau, tindakan itu dibuat kerana pihaknya tidak pernah mendengar aduan seumpama itu semasa calon-calon ditemuduga untuk jawatan anak kapal.

Ismail yang memandang serius dakwaan itu berkata, mana-mana syarikat penerbangan tidak boleh melakukan gangguan seksual kepada calon-calon anak kapal.

“Ia adalah kes pertama yang kami dengar. Ia tidak boleh diterima. Tidak boleh mengambil kesempatan ke atas calon wanita,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau membuat kenyataan itu berikutan dakwaan Malindo Air meminta calon-calon yang ditemuduga membuka baju dalam untuk ‘grooming check’.

Bagaimanapun, Malindo Air menafikan dakwaan tersebut dan memaklumkan pihaknya mematuhi prosedur.

Tambah Ismail, anak-anak kapal tidak perlu tunduk kepada permintaan seumpama itu atau mendedahkan tubuh mereka meskipun ketika mereka memakai pakaian seragam syarikat penerbangan.

“Ini akan memberi imej negatif kepada profesion tersebut,” katanya.

Ismail berkata, NUFAM tidak akan berkompromi jika aduan seumpama itu berlaku dan menggesa semua syarikat penerbangan mengelakkan daripada berlakuan di luar batasan.

Sehubungan itu, NUFAM mahu Malindo Air memohon maaf kepada calon-calon wanita yang hadir dalam temuduga tersebut. – MalaysiaGazette

Comments are closed.