V. Sivakumar.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mempunyai keazaman politik untuk membenteras kegiatan judi haram di negara ini.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar berkata, walaupun negara mempunyai undang-undang dan agensi penguatkuasa yang efisyen namun masalah judi haram masih tidak dapat ditangani.

“Persoalannya kenapa pelaku jenayah ini berani membuka pusat perjudian haram, apakah hilang ketakutan dengan undang-undang sedia ada atau penguatkuasaan kita tidak efektif.

“Saya percaya masalah ini boleh diselesaikan jika Kementerian Dalam Negeri mempunyai keazaman membanteras judi haram hingga ke akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak itu juga mendakwa hampir setiap tahun terdapat pembukaan pusat-pusat perjudian siber baharu di merata tempat walaupun pihak berkuasa telah telah melakukan serbuan.

Menurut Sivakumar, apa yang membimbangkan ialah bagaimana pelajar sekolah tahu lokasi pusat perjudian haram sedangkan pihak berkuasa gagal mengesan aktiviti itu.

“Saya sangat risau dengan masa depan anak-anak kita terancam jika judi haram tidak ditangani secara serius,” katanya. – MalaysiaGazette