Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR – Status pelaksanaan Projek River of Life (RoL) kini 67 peratus siap, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya, projek pengindahan sungai fasa satu di Presint 7 Putrajaya meliputi kawasan sepanjang sungai di sekitar Masjid Jamek sehingga ke Daya Bumi.

“Pelaksanaan projek Fasa 1 ini telah mencapai 93.7 peratus dan dijangka siap secara berpringkat mulai 15 April ini.

“Projek RoL dibawah NKEA Greater Kuala Lumpur/Klang Valley dilaksanakan bagi mentransformasikan Sungai Gombak dan Sungai Klang kepada ikon waterfront yang dinamik dan berdaya huni dengan nilai ekonomi tinggi,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr. Tan Kee Kwong (PKR-Wangsa Maju) yang meminta kementerian berkenaan menyatakan status projek tersebut.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, objektif utama projek RoL untuk mencapai tahap kualiti air sungai kelas II (B) menjelang tahun 2020.

Justeru katanya, RoL juga bertujuan untuk meningkatkan aktiviti ekonomi dan kualiti hidup rakyat dengan mengubah wajah Koridor Sungai Klang dan Sungai Gombak menjadi kawasan ceria, berdaya huni dengan nilai ekonomi tinggi.

“Selain itu kerajaan juga mahu membangunkan tanah-tanah kerajaan di sekitar lokasi projek RoL bagi mendapatkan jangkaan pulangan semula kepada kerajaan sebanyak RM4.0 bilion.

“Projek RoL dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun 2011 terdiri daripada 3 komponen utama iaitu pembersihan sungai, pengindahan sungai dan pembangunan tanah,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Kee Kwong yang meminta kerajaan menyelesaikan isu tanah penduduk setinggan di Kampung Chubadak, Wangsa Maju, Tengku Adnan meminta wakil rakyat itu untuk membantu memindah dan menempatankan semula mereka bagi memberi laluan kepada projek RoL.

“Saya berharap Yang Berhormat Wangsa Maju bantu kerajaan memindahkan penduduk kampung setinggan itu yang menghuni tepi sungai terlibat projek RoL.

“Boleh YB minta penduduk kerjasama dengan kerajaan kerana menghuni secara haram di atas tanah kerajaan dan kita perlu jalankan pembersihan sungai ini yang mana kebanyakan penghuni buang kotoran di sungai tersebut sehingga ada pembuangan kumbahan.

“Rayu YB (Kee Kwong) bantu kerajaan selesai masalah kampung supaya mereka dapat diberi penempatan semula,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette