Miguel Angle Camacho, 57, didakwa mengedar dadah jenis kokain dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

PULAU PINANG – Tindakan berani seorang lelaki warga Argentina cuba membawa masuk dadah menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) minggu lalu membawa padah selepas dia didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau di sini hari ini.

Miguel Angle Camacho, 57, didakwa mengedar dadah jenis kokain seberat 1,371 gram bernilai RM247,200 itu di Kaunter Bagasi Balai Ketibaan, (LTAPP) pukul 2 petang pada 29 Mac lepas.

Ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Sepanyol di hadapan Pendaftar Mahkamah, Mohamad Alif Abdul Aziz, tertuduh hanya mengangguk faham tanpa sebarang pengakuan direkodkan.

Camacho yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum gantung sampai mati.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula kes dengan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.- MalaysiaGazette