Ahmad Zahid Hamidi (tengah) diiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed (dua kiri) mendengar kakitangan Kementerian Dalam Negeri membaca ikrar pada Perhimpunan Bulanan kementerian itu di Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 6 APRIL 2017.

PUTRAJAYA – Semua majikan diwajibkan membuat permohonan pengambilan pekerja asing secara dalam talian sepenuhnya kecuali pembantu rumah bermula 1 April lepas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha proaktif itu bertujuan memastikan tiada lagi isu-isu penipuan membabitkan ejen dan pihak lain yang mengambil kesempatan dalam proses pendaftaran pekerja asing.

“Kali ini semua majikan perlu mohon terus secara dalam talian.

“Keputusan mewajibkan permohonan secara dalam talian adalah demi kebaikan
semua agar KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan Jabatan Imigresen tidak terus
dilemparkan dengan pelbagai tuduhan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas berucap pada perhimpunan bulanan KDN di sini hari ini.

Dalam ucapannya sebelum itu Ahmad Zahid menyelar ejen yang mengambil kesempatan terhadap kesusahan pekerja asing.

Katanya, pekerja asing berkenaan ada yang terpaksa bergadai hanya semata-mata mahu mendapatkan pekerjaan namun, akhirnya mereka menyedari diri mereka ditipu.

“Yang mahu kerja di sini orang susah, mereka bayar puluhan ribu Ringgit, jual rumah, jual hartanah, ambil pinjaman dengan along di negara mereka.

“Bila (mereka) berlambak di sini, tiada majikan ambil mereka bekerja dan
akhirnya harta mereka dilelong, anak isteri yang tinggal susah dikejar oleh
along,” katanya. – MalaysiaGazette