Pengundi-pengundi membuat semakan di kaunter semak daftar pemilih sebelum masuk ke bilik mengundi. - Gambar hiasan

PULAU PINANG – Negeri ini bakal menyaksikan saingan sengit dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas Parti Alternatif Rakyat (PAP) hari ini mengumumkan akan bertanding semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

PAP merupakan parti serpihan DAP dengan majoriti ahlinya adalah bekas ahli parti itu dan diketuai Presidennya, Zulkifli Mohd. Noor yang juga bekas Naib Pengerusi DAP Kebangsaan.

Menurut Zulkifli, keputusan bertanding semua kerusi DUN dan Parlimen itu bagi memberi alternatif kepada penduduk negeri ini memilih wakil rakyat baharu berikutan kegagalan Kerajaan DAP Pulau Pinang menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.

Malah, beliau turut melontarkan keyakinan tinggi parti itu bakal mendapat sokongan dan perhatian pengundi negeri ini sekali gus menumbangkan kerajaan negeri sedia ada.

“Malah saya juga bersedia bertanding menentang Penasihat DAP, Lim Kit Siang sekiranya beliau membuat keputusan bertanding di negeri ini termasuk di kerusi yang majoriti pengundinya adalah kaum Cina,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden PAP, Rahmad Isahak yang juga bekas ahli DAP negeri ini.

Pulau Pinang mempunyai sebanyak 40 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen.

Sebelum ini, Pas Pulau Pinang juga menyatakan kesediaan bertanding semua kerusi DUN dan Parlimen di negeri ini selepas memutuskan kerjasama politik dengan DAP dan PKR negeri ini.

Menurut Zulkifli, pihaknya kini sudah mengenal pasti calon sesuai terdiri daripada pelbagai kaum dan merupakan anak jati negeri ini bagi mewakili parti itu dalam PRU-14 kelak.

Tambah beliau, fokus utama perjuangan PAP dalam mendepani pilihan raya umum itu adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat yang gagal ditangani Kerajaan DAP Pulau Pinang antaranya isu banjir kilat yang semakin buruk ketika ini.

Isu-isu lain, ujar beliau, termasuk kesukaran penduduk memiliki rumah mampu milik; kemusnahan alam sekitar akibat kerakusan meluluskan projek mega dan bertaraf mewah serta banyak lagi. – MalaysiaGazette