Nasruddin Hassan

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen Pas terpaksa bersabar dan menunggu sehingga 24 Jun untuk membahaskan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Akta atau RUU355 berikutan penangguhan sesi Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Temerloh, Nasruddin Hassan Tantawi berkata, beliau dan Ahli Parlimen Pas yang lain sudah bersedia untuk berbahas  selepas pindaan tersebut dibentangkan oelh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Speaker (Tan Sri Pandikar Amin Mulia) menangguhkan perbahasan pada jam 4.00 petang sejurus selesai ucapan YB Kota Bharu (Datuk Takiyuddin Hassan) yang menyokong usul pindaan Akta 355 oleh YB Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang).

“YB Kuala Nerus (Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali) dan saya sendiri telah bersedia untuk mengambil bahagian pada sidang kali ini nampaknya terpaksalah kami jugak menangguhkan perbahasan kami ke persidangan akan datang yang dijangka pada bulan Jun,” katanya dalam Facebook rasminya sebentar tadi.

Pindaan RUU355 akhirnya dibentang Hadi di akhir terakhir Sidang Dewan Rakyat hari ini selepas tertangguh dua kali.

Pindaan RUU355 bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah dan meningkatkan hukuman jenayah sedia tanpa membabitkan masyarakat bukan Islam.

RUU355 pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016, tetapi ditangguhkan dan versi yang disemak semula pula dibentangkan pada November 2016.

Pindaan berkenaan dibentangkan Hadi kira-kira setengah jam sebelum Ahli Parlimen pembangkang khususnya DAP bangun menimbulkan kekecohan.

Antaranya Ahli Parlimen Gopeng, Lee Boon Chye, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deoh.

Sidang Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan Pandikar selepas selepas Takiyuddin selaku Ahli Parlimen Kota Bharu selepas menyokong usul berkenaan.

Menurut Pandikar, beliau berkuasa penuh untuk menentukan perjalanan mesyuarat dewan dan membuat keputusan berdasarkan kuasa yang ada padanya.

“Saya ingin kongsikan satu kata-kata hikmat yang terpahat di fikiran saya hingga sekarang – if you are in power, you are powerful, if you don’t use your power, your are a bloody fool.

“Pada hari ini saya tak mahu menjadi bloody fool. Saya nak gunakan kuasa saya dengan membuat ketetapan supaya perbahasan (usul meminda Akta 355 dibawa hari ini) diadakan pada sesi akan datang,” katanya yang dipetik Malaysiakini.

Tindakan itu mendatangkan marah dikalangan Ahli Parlimen terutamanya Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. -MalaysiaGazette.