Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bergambar dengan maskot Sukan Sea 2017 dan baton obor selepas melancarkan Larian Obor Kuala Lumpur 2017 sempena Sukan Sea ke 29 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Ogos akan datang. foto SAFWAN MANSOR, 07 APRIL 2017

PUTRAJAYA – Larian Obor Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) akan bermula pada 14 Mei ini di Johor dan berakhir di Kuala Lumpur pada 12 Ogos ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, larian itu akan merentasi jarak 665.43 kilometer dengan menjelajah 13 negeri termasuk Labuan.

Beliau berkata, sebanyak 79 daerah telah terpilih yang melibatkan sekurang-kurangnya 29 pelari utama di setiap daerah termasuk sembilan pelari Orang Kurang Upaya (OKU).

“Larian Obor KL2017 akan bermula di Tambak Johor dan akan berakhir di lokasi di Kuala Lumpur akan melibatkan pelbagai gimik kemeriahan termasuk dibawa menerusi paragliding, pendakian ke Gunung Kinabalu serta menyelam di Pulau Perhentian.

“Justeru ingin menjemput semua rakyat Malaysia menyertai larian ini dan mereka berpeluang menjadi pemegang obor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pendaftaran Larian Obor KL2017 di sini hari ini.

Khairy menambah, seramai 3,148 peserta diperlukan untuk menjadi pemegang obor Larian Obor KL2017.

Jelasnya, orang ramai hanya perlu mendaftar untuk tujuan itu di www.kualalumpur2017.com.my bermula hari ini.

Ujarnya, walaupun tidak terpilih sebagai pemegang obor, orang ramai masih dialua-alukan untuk menjadi pelari pengiring atau boleh bersama memeriahkan suasana di sepanjang laluan Larian Obor KL2017.

“Saya menyeru agar lebih ramai rakyat Malaysia menunjukkan sokongan padu untuk larian ini.

“Adalah menjadi harapan agar Larian Obor KL2017 dapat meningkatkan lagi momentum menjelang temasya sukan KL2017 pada Ogos nanti,” katanya. – MalaysiaGazette