Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Mahkamah Jenayah Khas yang mengendalikan kes melibatkan jenayah seksual kanak-kanak dijangka bermula di Putrajaya pada Jun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu diputuskan hasil perbincangannya dengan Ketua Hakim Negara yang baharu, Tan Sri Md Raus Sharif di Istana Kehakiman hari ini.

Pertemuan itu turut disertai Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri Datuk Jalil Marzuki, Ketua Pengarah Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) Datuk Anita Harun, Ketua Pengarah Jabatan
Insolvensi Malaysia Datuk Abd Rahman Putra Taha dan Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman Datuk Haini Hassan.

“Secara prinsipnya, Ketua Hakim Negara bersetuju dengan penubuhan Mahkamah Jenayah Khas ini dan ia dijangka bermula pada Jun depan di Putrajaya.

“Bagi memastikan prosiding dan perbicaraan kes berlangsung dengan lancar, hakim-hakim dan pengamal undang-undang akan menjalani latihan khusus anjuran ILKAP dalam tempoh terdekat,” katanya menerusi kenyataan.

Azalina berkata, penubuhan Mahkamah Jenayah Khas itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk membanteras penganiayaan seksual kanak-kanak dan melindungi mereka secara holistik, sekali gus melancarkan perbicaraan kes yang melibatkan
kanak-kanak.

Pada Selasa, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang antara lain menganggap kanak-kanak sebagai saksi kompeten bagi kes jenayah seksual. – MalaysiaGazette