Reaksi ceria Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika bersalaman dengan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar (kiri) ketika menghadiri Seminar Wanita Dan Pembangunan : Merapatkan Jurang anjuran Commonwealth Women Parliamentrians (CMO) di Parlimen Malaysia. foto SAFWAN MANSOR, 07 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Perbahasan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau Akta 355 yang ditangguhkan pada sidang akan datang adalah disebabkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan kakitangan Dewan Rakyat tidak cukup rehat.

Ini disebabkan oleh persidangan pada hari sebelumnya yang berakhir jam 5.05 pagi, kata Pandikar.

“Ia adalah permintaan kerajaan yang mahukan semua rang undang-undang diselesaikan. Kami duduk dalam dewan sehingga 5 pagi, saya tidak mahu tunggu lama malah Ketua Setiausaha pun tidur di dewan pagi itu.

“Saya keluar Dewan jam 3 pagi, sebab terpaksa kerana mendengar hujah Ahli Parlimen yang tidak masuk akal. Saya tidak mahu terus duduk disitu sehingga tiga jam,” katanya kepada media selepas menghadiri seminar Commonwealth Women Parliamentarians South East Regional di Dewan Bankuet, Parlimen hari ini.

Perbentangan Akta 355 ditangguhkan Pandikar ke sidang akan datang selepas dibentangkan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan disokong oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan.

Dewan ditangguh Pandikar lebih awal yang mana kemudiannya menimbulkan rasa marah daripada Ahli Parlimen pembangkang blok Pakatan Harapan.

“Saya punya hak untuk untuk menangguhkan mesyuarat. Ini bukan bermakna penangguhan itu mereka tidak boleh berbahasa di masa akan datang tetapi apabila mereka berhujah mereka di dorong oleh perasaan agenda politik semata-mata.

“Saya tidak mempunyai agenda politik. Saya kena pastikan setiap persidangan itu dapat berjalan dengan lancar. Jadi terpulang kepada Salahuddin Ayub atau sesiapa sahaja yang menghentam saya. Saya tidak kisah selagi sidang parlimen berjalan lancar,” katanya lagi.

Ditanya samada sesi semalam ditangguhkan secara tiba-tiba, jawab Pandikar beliau tidak mahu untuk terus berada di dalam Dewan Rakyat kerana keletihan.

“Ia tidak dihentikan secara tiba-tiba. Sebaik sahaja usul diutarakan dan ada sokongan, jadi speaker perlu berikan kesempatan kepada semua ahli parlimen bahawa usul ini terbuka untuk dibahas.

“Saya tidak mahu begitu kerana kita telah bersidang sehingga jam 5 pagi kerana usul yang telah dibawa adalah dari kerajaan. Itu bukan kehendak saya, ia kehendak kerajaan dalam Peraturan Mesyuarat 15 Dewan Rakyat.

“Jadi saya diberikan kebebasan untuk tangguh Dewan lebih awal kerana pekerja dan Setiausaha Dewan Rakyat pun tidur di dewan. Saya pun tidur jam 5 pagi.

“Kalau saya tidak gunakan kuasa saya sebagai speaker, saya kena tunggu lagi enam jam untuk bersidang. Sebagaimana Kit Siang yang sepatutnya menjadi pemimpin tapi tidak faham mengenai perjalanan dewan. Saya tidak akan tunggu sehingga tiga jam untuk dengar kata-kata mereka.

“Saya tidak mahu duduk lagi selama satu jam kerana prosedurnya adalah setelah dibahas dan disokong jadi speaker perlu bawa kehadapan. Jadi tidak ada perbahasan. Saya putuskan untuk berhenti disitu,” jelas Pandikar. – MalaysiaGazette.