Nur Jazlan Mohamed melihat sekumpulan remaja yang ditahan dalam operasi dadah di Georgetown awal pagi tadi.

PULAU PINANG – Penyalahgunaan dadah dalam kalangan penjawat awam di negeri ini disifatkan sangat membimbangkan selepas golongan itu merupakan sebahagian besar yang ditahan dalam operasi bersepadu di beberapa buah pusat hiburan sekitar Georgetown, di sini awal pagi tadi.

Lebih mengejutkan, daripada seramai 324 yang diperiksa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi bermula pukul 1 pagi itu, separuh daripada mereka juga merupakan golongan di bawah umur.

Operasi yang diketuai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed itu turut digerakkan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Jabatan Imigresen dan Jabatan Sukarelawan (Rela) negeri.

Menurut Nur Jazlan, ujian air kencing ke atas 250 lelaki dan 74 wanita mendapati seramai 29 daripada mereka positif dadah jenis methaphetamine.

Selain itu, kata beliau, tiga yang lain dikesan mengambil opiat manakala 11 orang didapati positif tetra hydrocannibol iaitu ganja atau marijuana.

“Tangkapan serta pemeriksaan ke atas kakitangan awam dan remaja bawah umur dalam operasi ini adalah sangat mengejutkan dan menunjukkan penyalahgunaan dadah ini melibatkan semua lapisan masyarakat.

“Jadi usaha mengekang gejala sosial ini perlu diperhebatkan dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Sehubungan itu, Nur Jazlan yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat pemantauan lebih kerap dalam memastikan premis dan pusat hiburan tidak sewenang-wenangnya membenarkan remaja masuk.

Jelasnya, PBT dengan kerjasama badan penguatkuasaan lain perlu mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha premis hiburan yang membenarkan lokasi mereka dijadikan sarang penyalahgunaan dadah termasuk menggantung operasi dan menarik balik lesen.

“PBT tidak perlu berkompromi dalam perkara ini dan mereka boleh menarik semula lesen premis berkenaan sekiranya didapati gagal mematuhi syarat dengan membenarkan pelanggan bawah umur masuk ke premis berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette