Supreet Kaur

NEW DELHI – Seorang penyampai berita tidak menyangka laporan yang dibaca ketika menyampaikan sebuah berita tergampar secara langsung mengenai satu kes kemalangan maut rupa-rupanya menimpa suaminya.

Supreet Kaur yang merupakan penyampai berita untuk saluran IBC24 di India dilihat tenang semasa seorang wartawan yang berada di tempat kejadian memberikan butiran nahas dan mangsa menerusi panggilan telefon, lapor laman portal Mirror.

Walaupun wartawan itu tidak menyebut nama-nama mangsa, tetapi laporannya memaklumkan bahawa tiga daripada lima orang di dalam kereta terbabit dalam nahas itu terbunuh.

Butiran itu sudah cukup bagi Kaur, 28, menyedari bahawa suaminya, Harsad Kawade merupakan salah seorang daripada tiga yang maut.

Ketika kejadian, suaminya menaiki kereta yang sama iaitu jenis Renault Duster di jalan yang sama pada masa yang sama bersama empat lagi rakan.

Kaur bagaimanapun terus menyampaikan berita-berita lain selama 10 minit meskipun menyedari maklumat yang disampaikan kepada umum itu melibatkan orang yang disayangi dalam hidupnya.

Memetik laporan Hindustan Times, Kaur bagaimanapun menitiskan air mata sebaik sahaja program berita pagi Sabtu berakhir.

Seorang editor kanan memberitahu, kakitangannya menyedari mengenai kematian suaminya semasa membaca berita berkenaan.

Editor itu berkata: “Tetapi kami tidak memberitahu dia. Kami tak sanggup.”

“Dia bagaimanapun dapat merasakan bahawa kenderaan yang terbabit dalam nahas itu adalah kenderaan yang dinaiki suaminya.”

Seorang rakan setugas berkata: “Dia seorang wanita yang sangat tabah. Kami berbangga dengan dia sebagai pembaca berita, tetapi apa yang telah berlaku hari ini benar-benar mengejutkan kami.”

Kaur bertugas sebagai pembaca berita untuk IBC24 selama sembilan tahun.

Dia dan suaminya telah setahun berkahwin. – MalaysiaGazette