Jumlah perokok wanita di Rusia dan Afrika meningkat. foto Agensi

MEROKOK merupakan punca salah satu daripada 10 kematian di dunia, menurut satu kajian. Separuh daripada punca kematian itu berlaku di empat negara – China, India, Amerika Syarikat dan Rusia.

Meskipun sejak berdekad-dekad lalu pelbagai polisi kawalan tembakau dilakukan namun pertumbuhan populasi perokok bertambah.

Penyelidik berkata, kematian boleh meningkat lagi kerana syarikat-syarikat tembakau agresif menyasarkan pasaran baru, terutama di negara membangun.

Laporan kajian itu diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet.

“Walaupun lebih daripada setengah abad ada bukti tidak berbelah bagi kesan-kesan bahaya tembakau ke atas kesihatan, hari ini, satu dalam setiap empat orang di dunia adalah seorang perokok setiap hari,” kata pengarang kanan, Dr. Emmanuela Gakidou.

Laporan Beban Penyakit Global berdasarkan tabiat merokok di 195 negara dan wilayah di antara tahun 1990 dan 2015.

Tambahnya, merokok kekal menjadi faktor risiko kedua terbesar bagi kematian awal dan hilang upaya.

Jadi bagi mengurangkan lagi kesannya kita perlu mempergiatkan kawalan tembakau untuk mengurangkan perokok dan beban yang menjadi puncanya.

Kajian itu mendapati bahawa hampir satu bilion orang merokok setiap hari pada tahun 2015 – satu daripada empat lelaki dan seorang daripada 20 wanita.

Itu adalah penurunan daripada satu daripada tiga lelaki dan seorang dalam 12 wanita yang merokok pada tahun 1990.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan penduduk bermakna terdapat peningkatan dalam bilangan keseluruhan perokok, meningkat daripada 870 juta pada tahun 1990.

Dan, bilangan kematian berkaitan tembakau – lebih daripada 6.4 juta pada tahun 2015 – peningkatan sebanyak 4.7 peratus dalam tempoh yang sama.

Kajian mendapati, sesetengah negara telah berjaya membantu orang berhenti merokok, kebanyakannya melalui gabungan cukai yang lebih tinggi, amaran pada pakej dan program pendidikan.

Dalam tempoh 25 tahun, Brazil telah melihat bilangan peratusan perokok harian jatuh dari 29 peratus kepada 12 peratus dalam kalangan lelaki dan penurunan daripada 19 peratus kepada 8.0 peratus dalam kalangan wanita.

Tetapi, kata laporan itu, Bangladesh, Indonesia dan Filipina tidak melihat sebarang perubahan antara 1990-2015.

Rusia menyaksikan peningkatan perokok wanita sebanyak 4.0 peratus dalam tempoh yang sama dan trend yang sama telah muncul di bahagian Afrika. – MalaysiaGazette