Murid-murid menghadiri perhimpunan sekolah di sebuah sekolah di Madinah. foto Agensi

RIYADH – Buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun, sesi persekolahan di Arab Saudi akan dibuka pada bulan Ramadan.

Sebelum ini, sekolah-sekolah biasanya menamatkan sesi persekolahan sebelum permulaan bulan puasa.

Di bawah jadual Kementerian Pendidikan, percutian musim panas untuk pelajar dan guru-guru sekolah menengah akan bermula pada 24 Ramadan selepas pelajar menamatkan peperiksaan.

Manakala percutian sekolah rendah akan bermula pada 13 Ramadan (8 Jun).

Sejumlah ibu bapa melalui media sosial menggesa supaya sesi persekolahan dipendekkan dan mengadakan peperiksaan sebelum tibanya bulan Ramadan.

Ada juga yang meminta kementerian menjadual semula peperiksaan pada pukul 7 pagi berbanding 10 pagi.

Bagaimanapun, kementerian mengecualikan sekolah-sekolah di wilayah selatan daripada keputusan itu dan membenarkan sesi akademik berakhir sebelum bermula Ramadan.

Ini bermakna sesi persekolahan di wilayah selatan berakhir pada 29 Syaban (25 Mei).

Seramai 70.69 peratus ibu bapa dalam tinjauan yang dijalankan membantah keputusan kementerian kerana menyifatkan keputusan meneruskan pembelajaran dan peperiksaan semasa bulan puasa adalah tidak tepat. – MalaysiaGazette