Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu parti itu mempunyai senarai saksi yang akan memberi keterangan dalam kes saman terhadap laman portal Sarawak Report.

Takiyuddin berkata, terdapat sekurang-kurangnya 10 saksi di United Kingdom yang akan memberi keterangan berhubung kes saman ke atas laman portal itu yang menuduh Pas menerima wang RM90 juta.

“Pada masa ini, kita tengah senaraikan saksi-saksi yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan United Kingdom untuk bantu beri keterangan.

“Di dalam mahkamah, saksi-saksi ini kadang-kala dipanggil dalam bentuk keterangan bertulis, affidavit dan sebagainya,” kata Takiyuddin yang dipetik berkata dalam sebuah akhbar tempatan.

Berhubung tindakan setengah pihak yang mempersoalkan Pas yang masih belum memulakan tindakan saman terhadap portal itu, Takiyuddin menjelaskan, ia bukan proses mudah dan mengambil masa panjang.

“Saya minta pihak-pihak yang menekan Pas supaya mengambil tindakan saman ini agar tidak perlu bimbang kerana kita tetap dengan pendirian untuk ambil tindakan tersebut.

“Bila ia (saman) akan dilaksanakan, itu terpulang kepada peguam,” kata Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Dalam pada itu, Takiyuddin menjelaskan, pihak peguam juga sedang dalam proses untuk mengkaji kesan daripada tindakan saman yang akan diambil itu.

“Pada pertengahan Disember lalu, kita telah nyatakan hasrat kita untuk saman pihak berkenaan.

“Tapi bilakah saman itu akan diambil masih belum dinyatakan kerana pelbagai persiapan seperti dokumentasi, saksi dan sebagainya perlu dilengkapkan terlebih dahulu sebab kita perlu buktikan pada mahkamah tentang kes ini,” katanya.

Sebelum ini, Sarawak Report mendakwa pemimpin atasan Pas telah menerima RM90 juta yang dimasukkan ke akaun pihak terbabit sebagai salah satu usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menarik kepimpinan parti Islam itu menyokong Barisan Nasional dan UMNO. – MalaysiaGazette