Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kecewa kerana ada pihak yang mempertikaikan usaha mempertingkatkan sistem undang-undang syariah di negara ini.

Beliau menasihati rakyat termasuk pihak-pihak tertentu yang cuba mempersoalkan Islam supaya menghormati Perkara 3 Perlembagaan yang menyatakan jelas agama itu sebagai agama rasmi Persekutuan.

“Apabila ada usaha dalam kalangan para ulama yang mahu meningkatkan sistem kehakiman supaya hukuman denda yang akan memberikan martabat tinggi kepada agama kita, amat sedih ada pihak mempertikaikan.

“Pihak itu cuba mempersoalkan usaha itu dan orang serta kumpulan yang tidak seakidah dengan kita janganlah cuba mengajar kita bagaimana untuk mengukuhkan undang-undang agama kita (Islam),” katanya.

Beliau berkata semasa berucap dan merasmikan KOnvensyen Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab2017  di ibu negara malam tadi.

Dalam perkara sama, Menteri Dalam Negeri itu juga menambah sebagai sebuah negara yang harmoni dengan pelbagai kaum, agama latar belakang berbeza, masing-masing perlu menghormati kedudukan Islam.

“Kita tidak berhasrat menyentuh sensitiviti agama lain dan juga menghormati anutan agama lain.

“Begitu juga mereka tolong menghormati agama (Islam) saya, sekiranya anda mahu saya menghormati agama anda.

“Tidak ada satu ayat pun dalam al-Quran yang menyebut atau menyuruh kita kena mengenepikan agama lain.

“Hormati menghormati sesama agama membantu kita membentuk sebuah negara yang harmoni dan bersatu, selain terus memartabatkan agama Islam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette